top of page

Menteri Luar Singapura: Tiada perbincangan hidupkan semula HSR semasa lawatan rasmi ke Malaysia


Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
Gambar hiasan: Kami memberi tumpuan kepada RTS, Sistem Transit Rapid yang akan menghubungkan Johor ke Singapura.

Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

SINGAPURA: Menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak dibincangkan semasa lawatan rasmi empat hari Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan ke Malaysia yang baru sahaja tamat.


"Tidak, kami tidak membincangkan perkara ini. Kami memberi tumpuan kepada RTS, Sistem Transit Rapid yang akan menghubungkan Johor ke Singapura," jawab Balakrishnan apabila ditanya media Singapura sama ada menghidupkan semula HSR dibincangkan semasa lawatannya yang bermula pada 15 Januari.


Transkrip penuh Temu Bual menteri pada akhir lawatan rasminya ke Malaysia telah tersedia di laman web Kementerian Luar hari ini. "Projek RTS akan menjadi rangsangan yang signifikan kepada rakyat dan pekerja di kedua-dua belah Selat Johor. Ia akan menawarkan kapasiti 10,000 penumpang setiap jam.


"Setakat ini, berdasarkan perbincangan saya dengan menteri-menteri di Malaysia, mereka memberi jaminan kepada saya bahawa mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan dapat memenuhi tarikh akhir penyiapan pada penghujung 2026. Jadi, itu adalah sesuatu yang dinanti-nantikan," katanya.


Bagi projek lain, Balakrishnan berkata, Singapura akan menunggu cadangan dari Malaysia, dan "akan tetap berfikiran terbuka."


"Kami sedang mencari projek baharu atau projek tambahan, yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara," katanya.


Semasa lawatan ke Singapura pada 29 Nov, 2021, Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencadangkan untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai HSR.


Terdahulu pada 1 Jan, 2021, Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan penamatan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Dis, 2020.


Semasa lawatannya yang berakhir hari ini, Balakrishnan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri Kabinet Malaysia termasuklah rakan sejawatannya, Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.


Sumber: Astro Awani


13 views

Comments


bottom of page