top of page

Menara telekomunikasi dibina di Sungai Samak



IPOH: Sebuah menara telekomunikasi akan dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi menyelesaikan masalah capaian internet yang dialami penduduk di Kampung Sungai Samak, Bagan Datuk yang disiarkan Utusan Malaysia, Sabtu lalu.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pembinaan menara tersebut oleh Maxis dijangka mampu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan.


Menurutnya, pelbagai usaha sedang giat diambil oleh pihaknya bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan tersebut ditangani segera.


“Satu pertemuan antara MCMC Perak dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis bersama Ketua Kampung Sungai Samak, Ahmad Hilmi Yunus.


“Pertemuan diadakan pada 19 Jun lalu bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat,” katanya.


Menurutnya, pembinaan menara telekomunikasi baharu itu adalah penyelesaian jangka masa panjang dan ia dijangka siap dibina April 2022.


“Sebagai langkah penyelesaian awal, kerja-kerja menaik taraf menara sedia ada akan dijalankan oleh pihak Celcom di lokasi menara terdekat dengan kampung ini dan dijangka siap pada September 2021.


“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar boleh menggunakan Pusat Internet Komuniti (PIK) yang berada di Kampung Sungai Samak yang terletak dalam lingkungan 2.5 kilometer untuk meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” katanya.


Utusan Malaysia keluaran Sabtu lalu menyiarkan laporan mengenai capaian internet rendah di kawasan Sungai Samak Datuk sehingga mendorong penduduk menggunakan ‘booster’ yang dipasang pada galah panjang atau batang pencantas pelepah kelapa sawit untuk menambah kekuatan isyarat.


Penduduk berkata, mereka tiada pilihan selain menggunakan cara itu disebabkan capaian internet yang lemah sehingga menjejaskan anak-anak mereka untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Galah sehingga ada yang mencecah ketinggian 40 kaki itu banyak banyak digunakan di Kampung Sungai Samak, Sungai Manila, Sungai Bugis dan Bagan Lalang di sini.


10 views

Comments


bottom of page