top of page

Menara Alor Setar juga bakal ada 'lantai kaca'



ALOR SETAR: Menara Alor Setar bakal mendapat nilai tambah apabila kerajaan negeri berhasrat untuk membina ‘lantai kaca’ seperti terdapat di Menara Kuala Lumpur, bagi membolehkan pengunjungnya menikmati pemandangan bandar raya ini dari udara.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Budaya dan Pembangunan Usahawan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, perbincangan sudah diadakan dengan pihak Menara Kuala Lumpur dan persetujuan dicapai berhubung pembinaan pelantar terbuka di mercu tanda bandar raya Alor Setar itu.


“Kita jangka dapat memulakan pembinaan bilik kaca itu secepat mungkin dan jika tiada sebarang masalah, ia dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.

“Tarikan baharu itu akan memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung dan pembinaannya bersesuaian sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, yang mana kita berhasrat untuk menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara dan Kedah khususnya,” katanya di sini, hari ini.


Mohd Asmirul berkata perincian mengenai pembinaan lantai kaca berkenaan masih belum dimuktamadkan, namun berharap peruntukan dapat disalurkan bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan segera.


Dalam pada itu, Mohd Asmirul berkata, selain menawarkan produk yang berunsur moden, fokus kerajaan negeri masih bertumpu kepada pelancongan berkonsep warisan.


“Kita ada Pekan Rabu, Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat dan yang paling menarik Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir di Lorong Kilang Ais di Alor Setar,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha untuk memastikan lokasi pelancongan berkenaan diurus tadbir dengan baik agar dapat memberi kepuasan dan keselesaan kepada pengunjung. - Bernama



26 views
bottom of page