Memang ada pemilik PPR Melaka sewakan rumah


MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mengakui terdapat pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang dikesan tidak mendiami kediaman mereka dan menyewakan kepada orang lain.


Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, setakat ini pihaknya sedang membuat semakan dan penilaian terlebih dahulu bagi mengetahui punca mereka berbuat demikian sebelum tindakan diambil kerana melanggari syarat perjanjian ditetapkan.


Menurutnya, proses rundingan dan perbincangan akan menjadi perkara asas dalam menyelesaikan isu lama berlarutan supaya kemudahan rumah PRR itu benar-benar diberikan kepada rakyat yang memerlukan dan berhak selain tindakan mengeluarkan notis penamat sebagai jalan terakhir.


"Kerajaan negeri sedang buat pertimbangan kepada semua dan kita akan bincang dengan pemilik. Kita tengok apa masalahnya contoh ketika mereka dapat rumah itu mereka mahu duduk, namun sekarang mereka bekerja di luar dan biarkan rumah itu tidak diduduki.


"Kita akan cuba bincang supaya rumah itu diberikan kepada mereka yang perlu, kerana masih ramai rakyat memerlukan rumah PPR dan ia memang berlaku di Melaka," katanya selepas mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.


Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, setiap kerajaan negeri mempunyai kaedah masing-masing dalam mengatasi masalah itu dan Melaka akan menggunakan mekanisme terbaik menerusi rundingan supaya rumah PPR itu diberikan kepada yang benar-benar layak.


"Kita beri jaminan sekiranya didapati mereka tidak layak untuk mendiami rumah PRR berkenaan, kita akan berikan solusi lain supaya insiden yang berlaku di Pulau Pinang tidak berulang di negeri ini.


"Sekiranya mereka tidak layak duduk, mereka mesti ada tempat tinggal lain dan sediakan tempat yang baru. Barulah kita boleh keluarkan arahan dan sebagainya," katanya.


Isnin lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran keras kepada penyewa dan pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didapati memberi sewa kediaman mereka kepada orang lain.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #PPR #Melaka

13 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.