top of page

MBSB Bank sedia pembiayaan untuk kontraktor, vendor MRT Corp


MRT Corp
Gambar hiasan: Pandangan udara Syaf Penyelenggaraan 1 menunjukkan penurunan bahan dan tuangan sedang dijalankan dari pembukaan selatan oleh kontraktor sistem. (Sumber gambar: MRT Corp)

Kuala Lumpur: MBSB Bank Bhd telah memeterai memorandum persefahaman dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk menawarkan pembiayaan yang disesuaikan kepada kontraktor dan vendor MRT Corp yang terlibat dalam projek semasa dan masa depan.


"Program pembiayaan ini menyasarkan untuk membantu kontraktor kategori G1 hingga G7 yang terbabit dalam projek MRT dan berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran terbuka," menurut kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini.


Kedua-dua pihak memaklumkan program itu akan melibatkan kontraktor bagi projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) di antara Johor Bahru dan Singapura.


Menerusi program itu, MBSB Bank akan turut menyediakan dana syarikat pemula kepada 15 syarikat Bumiputera di bawah Program Usahawan Muda MRT (MYEP-RTS).


Menurut kenyataan itu, program MYEP-RTS adalah inisiatif oleh MRT Corp, CIDB dan Pusat Pembangunan Pembinaan Johor untuk memajukan graduan Bumiputera sebagai kontraktor muda yang cekap dan berjaya dalam industri.


"Pogram MYEP yang sama telah dianjurkan bagi dua projek MRT yang pertama iaitu projek MRT Kajang (MYEP 1) dan Laluan Putrajaya (MYEP 2).


"MYEP 1 menyaksikan sebanyak 16 graduan menubuhkan 14 syarikat dalam kalangan mereka, manakala MYEP 2 melahirkan 54 graduan yang menubuhkan 24 syarikat dalam kalangan mereka," menurut kedua-dua pihak.


MBSB Bank dan MRT Corp berkata graduan-graduan ini bukan sahaja menyelesaikan subkontrak MRT yang diberikan selepas inisiatif MYEP dilengkapkan, malah turut membida secara bebas bagi projek-projek daripada kontraktor pakej kerja dan berjaya melaksanakan penyerahan.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan MBSB Bank Datuk Nor Azam M Taib berkata, inisiatif pembiayaan patuh Syariah yang direka khas ini akan membantu menangani situasi kewangan kontraktor dan vendor, dan membolehkan mereka memberi tumpuan untuk menyiapkan kerja dengan cekap dan tepat pada masanya.


"Kami berharap kontraktor dan vendor MRT Corp akan mengambil maklum bahawa tawaran baharu ini adalah menarik dan memberi manfaat kepada perniagaan mereka," katanya.


CEO MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim pula berkata kerjasama ini akan meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera yang berkualiti dalam bidang pembinaan.


"(Usahawan akan) berusaha untuk membangunkan lagi kecekapan mereka untuk melahirkan peserta yang kukuh, komited dan mengagumkan sejajar dengan keperluan industri.


"Komitmen MBSB Bank untuk menyediakan pembiayaan kepada kontraktor yang terlibat dalam projek MRT akan membantu memulakan aktiviti yang diperlukan untuk mengembangkan ekonomi, mewujudkan kesan pengganda yang kekal kepada ekonomi," katanya.


Sumber: Harian Metro


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page