top of page

MBM perlu pastikan projek menepati spesifikasi: Lee


Majlis Bandaraya Miri (MBM)

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan jururunding projek menaik taraf jambatan gantung di Taman Awam Miri perlu turun padang meninjau perjalanan kerja-kerja dilaksanakan oleh kontraktor agar menepati speksifikasi ditetapkan. 


Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata jurutera MBM terbabit dan syarikat konsultan atau jururunding dilantik harus turun padang dari semasa ke semasa memastikan kerja-kerja menaik taraf oleh kontraktor berjalan lancar terutama membabitkan keselamatan awam. 


"Saya sudah mengadakan tinjauan untuk kerja-kerja menaik taraf projek jambatan gantung (di Taman Awam Miri) dan mendapati ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh MBM kerana keadaannya sudah tidak baik lagi. 


"Beberapa papan perlu diganti dan mestilah papan dari kayu belian seperti yang dinyatakan dalam speksifikasi projek ini. 


"Papan belian yang digunakan perlu disahkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS)," katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan gantung tersebut di sini hari ini.


Selain itu katanya, kabel-kabel berkarat dan longgar juga perlu diganti dan diperbaiki. 


"Saya mahu mereka buat dan memperbaiki semua kekurangan dan kerosakan yang ada dengan terperinci, jangan tinggalkan apa-apa kekurangan atau kerosakan kerana ini membabitkan keselamatan orang ramai," jelasnya. 


Justeru, Lee mahu supaya pihak (jurutera) MBM sentiasa mengesahkan semua skop kerja menaik taraf jambatan gantung itu dilaksana mengikuti spesifikasi yang ditetapkan. 


Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan bahagian tertinggal itu akan rosak selepas projek naik taraf dilaksanakan dan MBM akan menanggung lagi kos penyelenggaraannya. 


"Kita hendak buat projek naik taraf, buat sekali gus semuanya. Lihat (semula) speksifikasinya, periksa dan kalau ada tertinggal atau rosak, gantikan semula. 


"Kita tidak mahu setahun dua nanti, ada lagi yang rosak dan ini akan menambahkan kos penyelenggaraan dan membazir," katanya. 


Projek menaik taraf jambatan gantung yang menelan kos RM428,000 itu dimulakan pada 19 Julai lalu dan siap pada 18 November 2024, namun masih belum dapat dibuka kepada orang awam kerana masih ada kerja-kerja perlu diperbaiki dan dikemaskan. 


Lee memberitahu hanya setelah semua kerja-kerja memperbaiki dan sentuhan akhir pembinaan jambatan itu siap dan memuaskan nanti, baharu ia akan dibuka kepada orang ramai, dijangka pada Januari 2025.  Sementara itu, bagi Projek Pembinaan Taman Awam Miri Fasa 4 membabitkan Zon Cerun Batu-batuan dan Taman Hutan terletak di seberang taman sedia ada, kini sedang memasuki 20 peratus penyiapan sebenarnya. 


Projek pembinaan Fasa 4 ini menelan kos RM1.3 juta bermula pada 1 Oktober lalu dan dijangka siap pada 30 September 2025. 


Ia meliputi kawasan seluas 11.05 ekar dengan jarak berjalan kaki sejauh 1,800 meter dan jarak pendakian ialah setinggi 500 meter. 


Taman baharu itu akan merangkumi trek ke cerun batu-batuan (dilindungi), tandas, parkir kereta, laluan pejalan kaki, gazebo dan pelbagai kemudahan taman lain.   


Comentários


bottom of page