top of page

MBJB sedia tindakan segera atasi banjir kilat

Updated: Jul 4, 2023


MBJB sedia tindakan segera atasi banjir kilat Harian Metro www.hmetro.com.my
MBJB sedia tindakan segera atasi banjir kilat

ree

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengambil tindakan segera susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar pusat bandar ini semalam, selain menyediakan tindakan jangka masa sederhana dan panjang, bagi memastikan perkara sama tidak berulang.


Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, bagi tindakan segera, pihaknya sudah turun ke tapak sewaktu kejadian hujan lebat bagi memastikan pam utama berfungsi dengan baik serta memantau kawasan yang terbabit banjir kilat.


"Skuad Kilat MBJB bersama Team ERT Safwa Global Sdn Berhad juga sudah melaksanakan kerja pembersihan segera di lokasi terjejas banjir kilat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama yang terdiri daripada sampah domestik, sisa pokok dan landskap serta lain-lain sampah yang dihanyutkan sewaktu banjir berlaku.


"Kita juga sudah mengeluarkan Notis Amaran Kerja Tanah Akta 33 di atas kegagalan kawalan kerja tanah pembangunan kepada tiga pemaju pembangunan dalam kawasan MBJB kerana mengakibatkan banjir lumpur berlaku," katanya.


Beliau berkata, MBJB juga akan memantau kerja pembersihan segera terhadap sampah sarap di parit terbuka yang akan dijalankan oleh SWM Environment.


Pada masa sama, beliau berkata, MBJB akan mengambil tindakan jangka masa sederhana dengan melaksanakan kerja pembersihan dasar sungai bagi mengelakkan kejadian banjir berulang di beberapa lokasi seperti Sungai Sengkuang dan Sungai Sri Buntan.


"Kerja pembersihan dasar sungai di Sungai Tampoi, Sungai Bala, Sungai Sebulung dan Sungai Pandan pula akan bermula dalam masa terdekat.


"Tambahan lagi, memandangkan kejadian banjir lumpur juga disebabkan oleh projek pembangunan oleh pihak pemaju, MBJB telah mengarahkan mereka untuk membuat kawalan kerja tanah dengan segera bagi memastikan kerja pembangunan yang dibuat tidak menyebabkan kelodak atau sisa-sisa kerja tanah memasuki saliran utama yang boleh mengundang kejadian banjir kilat," jelasnya.


Selain itu, katanya, MBJB sudah memeterai memorandum persefahaman (MOU) bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor yang mana melalui kerjasama itu, ketiga-tiga pihak akan mengadakan perbincangan bagi menangani isu banjir kilat.


"Memandangkan sungai dan saliran utama adalah di bawah seliaan JPS, manakala anak-anak sungai dan parit-parit utama adalah di bawah seliaan MBJB, maka perbincangan perlu dilakukan bersama.


"Selain itu, terdapat banyak 'crossing culvert' di jalan-jalan JKR yang penting untuk membawa aliran air ke sungai utama. Oleh itu, ia perlu diselenggara dengan kerap bagi memastikan ia tidak tersumbat dan menghalang aliran air terutamanya sewaktu hujan lebat dan pertembungan air pasang," katanya.


Sementara itu, Mohd Noorazam berkata, bagi tindakan jangka masa panjang, MBJB akan melaksanakan kajian bagi tahap kapasiti pam sedia ada termasuk cadangan menyediakan pam baharu bagi menampung pembangunan baharu dalam kawasan MBJB bagi memastikan aliran air dapat dilepaskan dengan lancar ke Selat Tebrau, terutamanya ketika air pasang tinggi.


Beliau turut memohon kerjasama setiap warga bandar raya untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah dan mana-mana sisa domestik ke dalam atau berhampiran saliran utama yang sudah pasti boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat dan memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku.


Mengulas banjir kilat yang berlaku semalam, Mohd Noorazam berkata, punca kejadian itu adalah apabila hujan lebat dengan kadar intensiti luar biasa iaitu hampir 100 milimeter (mm) bermula jam 1.40 petang dan berlaku serentak dengan kejadian air pasang tinggi dengan ketinggian 3.3 meter di sekitar kawasan daerah ini pada jam 1.55 petang.


"Berdasarkan kategori bacaan tahap intensiti air hujan, kadar melebihi 60 mm adalah di dalam kategori sangat lebat iaitu tahap merah," jelasnya.


Katanya, beberapa lokasi di pusat bandar raya yang terjejas akibat banjir kilat, antaranya adalah kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Kampung Mohd Amin, Jalan Sungai Chat, Persiaran Abu Bakar dan Jalan Kolam Ayer di kawasan Lembangan Selat Johor.


Selain itu, katanya, turut terjejas akibat banjir kilat adalah di Jalan Ayer Molek dari Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) hingga ke Wisma Persekutuan di dalam Lembangan Parit Utama Ayer Molek; Jalan Stulang Darat di Lembangan Sungai Stulang: Jalan Tebrau; Jalan Tun Abdul Razak; Jalan Wong Ah Fook di Lembangan Sungai Segget; Jalan Tebrau (persimpangan Jalan Dato' Sulaiman); Jalan Sekolah dan Jalan Dewasa (Kampung Bakar Batu) di Lembangan Sungai Sengkuang.


"Selain itu, terdapat dua lokasi yang terjejas akibat banjir lumpur iaitu di Jalan Ayer Molek (persimpangan Jalan Lingkaran Dalam ke Wisma Persekutuan) dan Jalan Tebrau (persimpangan Jalan Salleh sehingga ke Jalan Tun Abdul Razak)," katanya.


Beliau berkata, semalam, ketika jangkaan air pasang tinggi berlaku, pintu air Sungai Segget sudah ditutup bermula jam 10.51 pagi iaitu 3 jam sebelum paras air pasang tinggi, manakala sistem pam dan tidal valve di muara Sungai Chat, parit utama Abdul Samad dan Sungai Ayer Molek dilaporkan berfungsi dengan baik semasa kejadian berlaku.


"Kejadian banjir lumpur pula berlaku akibat daripada kegagalan pihak pemaju menyelenggara kerja tanah di tapak bina yang mana ia menyebabkan limpahan air lumpur dan tanah dari tapak bina ke luar kawasan seperti di jalan raya dan saliran utama," katanya.


Sumber: Harian Metro


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page