top of page

MBJB mula baik pulih bumbung Flat Ros Merah


MBJB mula baik pulih bumbung Flat Ros Merah Harian Metro www.hmetro.com.my
Kerja baik pulih bumbung Flat Ros Merah mula dijalankan oleh kontraktor pelaksana MBJB hari ini. FOTO OMAR AHMAD

Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui kontraktor pelaksana yang dilantik mula melakukan kerja baik pulih bumbung Flat Ros Merah, di Taman Johor Jaya di sini, hari ini.


Ahli Majlis MBJB, Chan San San berkata kerja-kerja baik pulih dilakukan itu membabitkan beberapa fasa dengan kerja awal iaitu pembersihan bumbung bagi mengalihkan sisa serta baki struktur bumbung yang ditiup ribut pada insiden Jumaat lalu.


"Pembersihan ini bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar demi mengelakkan sebarang kejadian lain yang tidak diingini. Selepas itu, bahagian atas blok terbabit akan dipasang kanvas untuk sementara waktu.


"Pemasangan kanvas ini penting bagi melindungi unit-unit rumah yang tidak lagi berbumbung daripada kesan hujan dan angin, serta untuk melindungi perabot dan perkakas yang masih terdapat dalam setiap unit rumah terkesan," katanya.


Jelas San San, seterusnya kerja pemasangan struktur dan bumbung baharu akan dibuat secara berperingkat sehingga selesai.


"Difahamkan kerja membaik pulih bumbung ini memakan masa lapan minggu.


"Diharapkan kerja baik pulih berjalan lancar mengikut jadual supaya penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dan menjalani kehidupan seperti sedia kala," katanya.


Pada Jumaat lalu, ribut dan angin kencang menerbangkan enam daripada sepuluh bumbung blok Flat Ros Merah, sehingga beberapa kediaman penduduk di tingkat atas 'banjir' dan memusnahkan barangan mereka.


Sehingga kini, kesemua 89 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.


Sumber: Harian Metro


4 views

Opmerkingen


bottom of page