top of page

MBI perkenal manual percepat kelulusan pembinaan


IPOH 8 Okt. - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melancarkan manual Urusan Mendapatkan Permit Pembinaan (DCP) bertujuan untuk memudahkan proses kelulusan permit kepada pihak kontraktor atau pemaju.


Inisiatif ini dapat memendekkan tempoh proses berkenaan yang mengambil masa 59 hari sahaja berbanding 175 hari mengikut prosedur sedia ada.


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, penyediaan manual ini melibatkan kajian semula terhadap peraturan dan proses kerja yang terlibat termasuk membabitkan agensi-agensi lain.


Menurut beliau, manual DCP MBI adalah inisiatif daripada Pelan Transformasi Urusan Permit Pembinaan (CITP) 2016-2019.


"Ia juga adalah untuk meningkatkan kualiti serta kecekapan dalam urusan kelulusan permit pembinaan sebagai usaha meningkatkan kedudukan negara ke tahap yang lebih baik melalui penilaian yang dilakukan oleh Bank Dunia.


"Dengan penyelarasan ini, ia membantu dalam mempermudah proses kelulusan permit pembinaan melibatkan projek berskala kecil bukan kediaman dengan had ketinggian tidak lebih tiga tingkat," ujarnya.


Beliau berkata demikian semasa berucap ketika melancarkan Manual DCP Bandaraya Ipoh di Hotel Weil di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perundingan dan Perundangan ), Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Samilah Mahsuri.


Selain MBI, manual sama juga telah diperkenalkan kepada empat lagi pihak berkuasa majlis bandaraya iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang, Seberang Perai, Kota Kinabalu dan Shah Alam.


Jelas Ahmad Suaidi lagi, pelaksanaan manual tersebut menepati kehendak semasa apabila masyarakat hari ini menginginkan sistem yang cepat, berkesan dan tidak ingin karenah birokrasi yang melewatkan proses kerja.


"Tiga perkara utama yang ditekankan ialah pengurangan proses yang terlibat, perosedur dan masa penting bukan sahaja kepada pemaju tetapi juga pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pembangunan dapat dibuat cepat.


"Penambahbaikan ini juga dapat memberi impak kepada keberkesanan perkhidmatan, penjimatan kos selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di negeri Perak," ujarnya.



7 views
bottom of page