Maric mahu manfaatkan ECRL



KUALA LUMPUR 25 Julai - Perbadanan Industri Keretapi Malaysia (Maric) akan memanfaatkan peluang daripada pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan menawarkan beberapa kepakaran yang ada berlandaskan Revolusi Industri Ke-4.


Setiausaha Kehormat Maric, Haniff Ghazali berkata, tawaran itu merangkumi pengilangan semula, pemasangan dan tenaga kerja serta membantu pengendali ECRL dengan cara terbaik untuk meningkatkan pendapatan menerusi perkhidmatan yang ada.


Pihaknya merancang untuk berkerjasama dengan Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) dalam bidang keselamatan, kecekapan industri menggunakan perkongsian kejuruteraan sistem strategik yang menumpukan kepada tiga perkara sistem keretapi, kenderaan keretapi dan landasan.

“Perkongsian ini akan menyaksikan setiap ahli Marik menyumbang kepakaran dan perkhidmatan masing-masing untuk menyokong MRL-​​CCCC dan rakan teknologi mereka.


“Tenaga kerja Maric seramai 4,200 pekerja daripada 36 buah syarikat utama dengan pengalaman dalam pembinaan lebih 1,600 kilometer laluan antara bandar utama dan lebih dari 200 kilometer projek keretapi adalah mampu dan bersedia untuk menyokong reka bentuk kejuruteraan, pemasangan dan penyeliaan,” jelas Maric dalam kenyataan hari ini.


Di bawah strategi Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) , ECRL merupakan pintu masuk penting bagi Maric untuk terlibat dalam projek keretapi rentas sempadan seperti Laluan Keretapi Singapura-Kunming (SKRL).


Kata Haniff, Maric akan memperkukuh lagi kemahiran dan keupayaan teknikalnya dengan bekerjasama dalam rangkaian keretapi sejauh 600 kilometer.


“Dengan mengukuhkan keupayaan tempatan kami dalam sistem pengangkutan keretapi, kami ingin terlibat secara langsung di bawah syarikat-syarikat gergasi China untuk meneroka peluang baharu.


“Latihan prakelayakan oleh MRL-CCCC untuk penggiat tempatan untuk membezakan kesediaan tempatan dan mengenal pasti kumpulan subkontraktor tempatan yang berpotensi diharapkan berlaku seawal tahun depan,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.