top of page

Mangsa ribut bimbang serpihan bumbung ancam keselamatan


Mangsa ribut bimbang serpihan bumbung ancam keselamatan  Harian Metro www.hmetro.com.my
Antara serpihan kayu dan zink dari bumbung yang diterbangkan ribut pada Jumaat lalu mengundang bahaya kepada penduduk Flat Ros Merah di Taman Johor Jaya. FOTO OMAR AHMAD

Johor Bahru: Penduduk Flet Ros Merah di Taman Johor Jaya di sini bimbang serpihan struktur bumbung yang rosak akibat dilanda ribut pada Jumaat lalu mengancam keselamatan mereka.


Ini kerana serpihan struktur bumbung seperti kepingan zink dan kayu yang tertanggal akibat ribut itu dibimbangi jatuh pada bila-bila masa sekali gus mengundang musibah kepada penduduk.


Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Ros Merah, Mohd Fauzi Mokhtar berkata, penduduk bimbang kayu atau zink itu akan jatuh jika diterbangkan angin.


"Kita sudah kenal pasti semua enam blok yang terbabit mempunyai serpihan kayu dan zink yang strukturnya kritikal dan merbahaya kepada penduduk serta harta benda mereka.


"Ketika ini hampir setiap petang hujan dan angin kuat, jadi kita bimbang jika kayu dan serpihan zink dari bumbung yang diterbangkan angin itu jatuh dan terkena rumah penduduk berdekatan.


"Situasi itu juga merbahaya orang ramai serta kenderaan yang diletakkan di bawah flet ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Tinjauan mendapati terdapat banyak serpihan bumbung dan kayu serta zink masih berada di atas flet terbabit termasuk yang terjuntai menunggu masa jatuh ditiup angin.


Dalam masa sama, Mohd Fauzi memohon bantuan pihak berwajib dan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu penduduk membawa turun barang serta perabot besar yang rosak.


Katanya, mangsa ribut kebanyakannya ada warga emas dan kanak-kanak yang tinggal di tingkat empat flet terbabit.


"Kita kalau boleh memohon bantuan mana-mana pihak termasuk NGO yang sudi membantu kerja pembersihan.


"Sukar penduduk mahu membuang barang besar yang rosak terutamanya almari, kerusi dan tilam kerana mereka berada ditingkat atas dan tidak boleh menggunakan tangga kerana ruang yang kecil.


"Mungkin pihak ini boleh membantu menyediakan kren atau jentera untuk menolong menurunkan barang penduduk yang rosak akibat ribut. Kebanyakan barang penduduk ini memang rosak kerana setiap petang pasti hujan," katanya.


Sementara itu, Datuk Bandar Johor Baharu, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata pihaknya telah meminta bantuan Unit Tindakan Cepat (UTC) Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk membantu penduduk terjejas dalam proses pembersihan.


"Kita minta UTC MBJB bantu penduduk. Kerja pembersihan akan dibuat kontraktor kita bermula hari ini," katanya.


Sumber: Harian Metro


4 views

Commentaires


bottom of page