KUALA LUMPUR: Syarikat dari Malaysia akan mengambil bahagian untuk melaksanakan projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pembabitan itu menunjukkan kesediaan Malaysia meneroka peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan serta mengambil bahagian dalam projek pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya serta pengurusan sumber air.
Katanya, perkara itu antara dibincangkan bersama pemimpin negara itu ketika lawatan rasminya ke Iraq bermula Rabu lalu dan berakhir semalam.
"Saya turut membincangkan tentang status pengoperasian PETRONAS di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh PETRONAS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, usaha itu dibuat seiring keputusan Malaysia untuk membuka semula operasi Kedutaan Besar di Baghdad, Iraq selepas ditutup sejak dua dekad lalu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu antara dua negara.
"Saya sudah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu.
"Lawatan ini amat bersejarah dan bermakna memandangkan ini lawatan pertama di peringkat menteri dari Malaysia ke Republik Iraq selepas lebih dua dekad (kali terakhir adalah pada tahun 2002) sejak tercetusnya pergolakan politik di Iraq pada 2003," katanya.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, lawatan ini bukan saja memenuhi jemputan rakan sejawatan, yang juga Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Antarabangsa merangkap Menteri Luar Negeri Republik Iraq, Dr Fuad Hussein, malah membuka lembaran baharu kerjasama antara Malaysia dengan Iraq.
Katanya, lawatan itu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat, selain misi diplomasi aktif diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan Malaysia kembali ke persada antarabangsa dalam menghadapi dan mendepani isu global.
"Dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Iraq, saya mengulangi komitmen Malaysia untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.
"Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia meneroka semua laluan dan peluang yang ada untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq," katanya.
Perkara lain dicapai dan dibincangkan dalam lawatan itu, katanya Malaysia mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways untuk memulakan penerbangan berkala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan segera.
"(Selain itu) Malaysia dan Iraq berperanan menangani isu berkaitan Islamofobia secara kolektif dengan negara-negara Islam lain. Justeru itu, Malaysia, Iraq serta Turkiye akan memainkan peranan lebih penting dalam mendepani isu Islamofobia yang dimainkan pihak tertentu.
"Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara Malaysia dan Iraq yang sudah tertangguh sekian lama (kali terakhir adalah pada tahun 2005) akan dilaksanakan semula dengan segera," katanya.
Sumber: Berita Harian
Malaysia sertai projek pembangunan semula Iraq
Opmerkingen