top of page

Malaysia kaji sistem pengambilan pekerja Bangladesh tanpa libatkan kos


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengkaji perjanjian pengambilan pekerja asing dari Bangladesh tanpa melibatkan kos, yang merupakan salah satu usaha kerajaan menghentikan kegiatan buruh paksa, bagi mengelakkan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat.


Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, perbincangan bersama kerajaan Bangladesh untuk terma baharu perjanjian itu, kini dalam peringkat terakhir dan akan serupa dengan perjanjian antara Malaysia dan Nepal tahun lepas mengenai pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang, pekerja dari negara tersebut.


Katanya mengikut perjanjian tersebut, majikan antaranya akan menanggung caj perkhidmatan pengambilan, tiket penerbangan dua hala, caj visa, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan keselamatan dan caj levi.

Kula Segaran berkata, kerajaan Malaysia telah mengenakan sekatan ke atas pengambilan pekerja Bangladesh pada tahun 2018 dan perbincangan bilateral mengenai terma baru pengambilan pekerja tersebut sedang berjalan dengan baik.


Katanya, perbincangan untuk menarik balik sekatan itu antara Malaysia dan Bangladesh telah berjalan sejak sekian lama, dan pasukan petugas Malaysia dijangka akan melawat Bangladesh bulan ini, bagi menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.


"Ada hanya beberapa perkara yang belum diselesaikan. Amat sedikit, daripada 10 hingga 12 perkara, (hanya) yang terakhir atau dua perkara yang perlu diselesaikan.


"Apabila ia diselesaikan, kita akan buka sektor ini. Kerajaan Malaysia bersedia untuk lakukannya (tarik balik sekatan)," katanya kepada pemberita selepas program bertemu pelanggan di sini pada Selasa.


Kula Segaran berkata demikian mengulas laporan berita pada Isnin, yang menyatakan kerajaan Bangladesh tidak berniat menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia, sehingga sistem pengambilan pekerja yang lebih telus, dengan kadar kos lebih rendah dapat dimuktamadkan.

Laporan memetik Menteri Kebajikan Pekerja Luar Negara Imran Ahmad sebagai berkata, pekerja mereka diluar negara menghadapi masalah akibat kos yang tinggi dikenakan, untuk bekerja di Malaysia dengan ada dalam kalangan pekerja yang terpaksa membayar sehingga RM19,000 untuk bekerja di sini antara tahun 2016 dan 2018.


Kula Segaran berkata, perlu ada satu sistem di Bangladesh untuk menghentikan penghantaran pekerja yang tidak diperiksa, dan menambah ada kes di mana ramai pekerja asing telah dieksploitasi oleh agen, yang mengenakan bayaran tinggi.


Katanya, apabila Malaysia menandatangi perjanjian dengan Nepal, salah satu daripada syarat ialah apabila pekerja mereka datang ke Malaysia, ia tidak melibatkan sebarang pembayaran, di mana tiket penerbangan dan lain-lain perbelanjaan perlu ditanggung majikan, dan bukannya pekerja.


Kula Segaran menyatakan kegusarannya mengenai Malaysia yang berkemungkinan menghadapi sekatan daripada Amerika Syarikat, jika tidak ada sebarang penambahbaikan selepas negara itu meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tier 2 dalam Laporan Perdagangan Manusia (TIP) untuk tahun kedua pada 2019.


"Sebab itulah kita cuba meminda undang-undang, kerana banyak undang-undang pekerja kita telah lapuk, kita mahu jadikan ia terkini," katanya.

-- BERNAMA


Sumber: Astro Awani


74 views

Comments


bottom of page