top of page

Majlis Khas semak MA63 dalam peringkat akhir penubuhan


Gambar hiasan - Pelantar minyak PETRONAS. Dewan Rakyat diberitahu hari ini satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sudah ditubuhkan untuk membincangkan isu minyak dan gas serta pemberian khas.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses akhir memuktamadkan komposisi penubuhan Majlis Khas untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata Majlis Khas terbabit adalah forum khusus untuk membincangkan dan memantau keseluruhan MA63 bersama kerajaan Sabah dan Sarawak.


Perkara berkaitan penubuhan Majlis Khas itu akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat.


"Selain daripada itu, satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sudah ditubuhkan untuk membincangkan isu minyak dan gas serta pemberian khas.



"Perdana Menteri sudah memberi mandat kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kanan (Kerja Raya) bagi membincangkan isu terbabit bersama kerajaan Sarawak dan PETRONAS bagi mencapai penyelesaian secara komersial.


"Berdasarkan makluman yang diterima, perbincangan dengan (kerajaan) Sabah akan menyusul selepas ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta kerajaan menyatakan usaha untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan berhubung penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas Sarawak.


Mengenai status semasa 17 daripada 21 perkara dalam Jawatankuasa Khas Kabinet MA63, Hanifah Hajar, menjelaskan, agensi bertanggungjawab memerlukan tempoh antara satu hingga dua tahun untuk melaksanakan keputusan berkenaan.


Katanya, baki empat lagi perkara yang belum selesai seperti royalti minyak, mineral minyak, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua, akan terus dibincangkan dalam Majlis Khas yang ditubuhkan kelak.


"Majlis Khas ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, menteri Kabinet serta wakil dari kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.


"Kerajaan berpandangan penubuhan Majlis Khas ini adalah memadai buat masa ini dan tiada keperluan untuk Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan (seperti yang dicadangkan sebelum ini)," katanya.



7 views
bottom of page