top of page

Mah Sing rancang bina kilang IBS di KL South


KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd sedang meneroka kemungkinan bekerjasama dengan syarikat China untuk membina kilang konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) kekal di Southville City, KL South.


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata kilang kekal itu akan dapat menghasilkan pelbagai komponen IBS termasuk panel konkrit pratuang, lajur papak konkrit, panel dinding konkrit dan rasuk.


“Ini akan meningkatkan penawaran Mah Sing kepada pembeli rumah tempatan secara lestari menggunakan IBS, sekali gus menyediakan peluang kepada kumpulan untuk memasarkan dan memasang komponen IBS bagi projek Mah Sing sendiri serta pembangunan lain termasuk projek rumah mampu milik kerajaan dan projek kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rancangan ini adalah susulan lawatan pasukan pengurusan kanan kumpulan itu baru-baru ini ke beberapa bandar raya di China termasuk Changsha dan Shanghai bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.


Hoy Kum berkata, dua syarikat yang ia berminat untuk menjalin kerjasama ialah Sany Heavy Industry Co Ltd, syarikat pembuatan peralatan berat multinasional China yang beribu pejabat di Changsha, Wilayah Hunan dan Nantong Sijian Construction Group Co Ltd, satu daripada 100 syarikat utama dalam industri pembinaan China.


“Sany berpotensi untuk membantu dalam penubuhan kilang pembuatan IBS, dan pindahan teknologi dalam komponen konkrit pratuang pembuatan, manakala Nantong Sijan akan melatih kontraktor Malaysia dalam pemasangan komponen IBS,” katanya.



50 views
bottom of page