Mah Sing ceburi pengeluaran sarung tangan getah



KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd menceburi pengeluaran sarung tangan getah menerusi pembinaan kilang pengeluaran pertamanya di Kapar, Selangor pada suku kedua tahun depan.


Penyertaannya ke dalam perniagaan baharu itu akan dilaksanakan menerusi Mah Sing Healthcare Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd yang juga adalah anak syarikat milik penuh Mah Sing Group.


Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Ho Hon Sang, berkata kilang itu akan dibina secara dua fasa dengan yang pertama dijadualkan beroperasi pada suku kedua tahun depan membabitkan enam barisan pengeluaran dengan pelaburan RM150 juta.


Katanya, kapasiti pengeluaran itu kemudiannya akan ditingkatkan kepada 12 barisan pada suku ketiga 2021 yang mampu mengeluarkan sehingga 3.68 bilion sarung tangan getah setahun.


"Kami merancang untuk mengembangkan operasi pengeluaran dengan menambah 12 barisan pengeluaran lagi dalam fasa kedua selepas kapasiti sedia ada tidak lagi mampu menampung permintaan.


"Penyertaan syarikat ke dalam sektor ini diyakini mampu memberi sumbangan ketara kepada syarikat pada tahun mendatang dengan menyumbang lebih 25 peratus keuntungan.


"Syarikat juga menyasarkan untuk menjadi pengeluar sarung tangan getah lima teratas di Malaysia selain beransur-ansur mahu meningkatkan sehingga 100 barisan pengeluaran yang berpotensi mengeluarkan hampir 30 bilion sarung tangan getah pada masa akan datang," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media maya mengumumkan perkara itu, hari ini.


Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.


Mengenai rasional penyertaan syarikat ke dalam pengeluaran sarung tangan getah, Hon Sang berkata, sejak penularan pandemik COVID-19, permintaan global terhadap peralatan perlindungan diri termasuk sarung tangan telah meningkat dengat amat ketara.


Katanya, permintaan global untuk sarung tangan dijangka mencecah 330 bilion pasang tahun ini, meningkat 11.49 peratus daripada 296 bilion tahun lalu.


"Industri sarung tangan getah merekodkan pertumbuhan secara purata di antara lapan hingga 10 peratus sejak 25 tahun lalu biarpun sebelum pandemik COVID-19.


"Permintaan terhadap sarung tangan dijangka akan terus meningkat pasca pandemik, disokong oleh peningkatan kesedaran terhadap kepentingan amalan kebersihan, terutama dalam pasaran pesat membangun yang mana penggunaan sarung tangan perkapita masih rendah dibandingkan negara maju.


"Maka, kami melihat situasi ini sebagai satu peluang buat syarikat untuk turut serta bagi meningkatkan prestasi kewangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan hartanah," katanya.


Mengenai perniagaan hartanah Mah Sing, beliau berkata syarikat merancang untuk melancarkan tiga projek kediaman bertanah baharu pada suku keempat ini.


"Satu projek akan dilancarkan di Rawang, Selangor dan dua lagi masing-masing di Johor dengan harga jualan dijangka bermula dari RM500,000 seunit," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Covid19

46 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.