LTAK penting bagi industri pelancongan negara


KUALA LUMPUR 7 Mei - Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK) di Kedah merupakan satu daripada projek terpenting yang akan menyumbang kepada industri pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.


Beliau berkata kedudukan lapangan terbang berkenaan yang terletak di sebelah utara tanah air dapat menarik lebih ramai pelancong dari sempadan Malaysia.


"Banyak pelancong dari Thailand akan masuk melalui Kedah. Ini satu daripada "pintu masuk pelancong ke negara ini"...dari utara akan menggunakan Kedah sebagai "pintu masuk dari utara "," katanya selepas melancarkan 'Malaysia Tourism City (MTC)' di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Mohamaddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kepentingan projek LTAK kepada industri pelancongan negara.


Ditanya anggaran peningkatan peratusan pelancong di utara selepas LTAK dibangunkan, beliau berkata: "Saya tidak mempunyai angka yang sebenar untuk diumumkan. Saya rasa masih terlalu awal".


Bernama sebelum ini melaporkan, Kedah akan menerima tujuh projek mega untuk pelaksanaan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat yang membabitkan peruntukan lebih RM3.2 bilion dalam usaha memastikan negeri ini mencapai kemajuan setanding negeri maju lain.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata antara tujuh projek mega yang bakal dilaksanakan itu ialah pembangunan LTAK serta Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim.


Terdahulu, Mohamaddin dalam ucapannya berkata MTC akan terus meningkatkan ekonomi Melaka.


Beliau berkata dengan Jonker Street, A Famosa, Stadthuys, Gereja St. Paul dan Christ Church, kementerian kini membawa Melaka ke lebih banyak jenama antarabangsa untuk mengubah negeri ini menjadi negeri campuran sejarah dan tempat trendi.


"Ini sejajar dengan kempen Melawat Melaka 2019 yang menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan nombor satu dan menarik pelancong dari dalam dan luar Malaysia untuk melawat dan tinggal lebih lama di Melaka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Meridian Berhad dan juga Ketua Pegawai Eksekutif di M101 Holdings Sdn Bhd Datuk Seth Yap berkata Meridian Bhd melancarkan MTC, sebuah projek utama 251.76 hektar, bernilai kira-kira RM200 juta.


Yap berkata MTC terletak di Kuala Linggi, Melaka, yang akan diubah menjadi destinasi pelancongan bersepadu, termasuk rekreasi dan hiburan, komersil, peruncitan, kediaman dan lain-lain.


Dengan MTC kami menyasarkan untuk menambah kedatangan pelancong 2 juta lagi dan tambahan 1.5 juta pelancong bermalam di Melaka," katanya.


Pada majlis itu, Meridian juga telah menandatangani perjanjian pelesenan dengan Hasbro Inc, pembuat mainan terbesar untuk membangunkan taman tema air Hasbro di dunia. Perjanjian itu dijamin di bawah entiti swasta Yap, M101 Holdings Sdn Bhd. - BERNAMA


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #LTAK

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.