top of page

LRT3 disambung separuh kedua


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kerja-kerja projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka disambung semula pada separuh kedua 2019, selepas terhenti selama setahun berikutan langkah kerajaan mengurangkan kos projek.


Ketua Pegawai Kewangan Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB), Ann Wan Tee berkata, kumpulan telah menandatangani kontrak harga tetap dengan Prasarana Malaysia Bhd. dan kini melalui fasa reka bentuk semula projek sebelum ia disambung.


Katanya, sedikit kerja sudah dimulakan sebelum ini dan pihaknya telah menyiapkan kira-kira 10 peratus sebelum dihentikan.


“Kumpulan terpaksa me­nunda jangkaan sambungan daripada MRCB George Kent Sdn. Bhd., syarikat usaha sama MRCB dan George Kent, kontraktor model siap guna (turnkey) pada tahun lalu.


“Sumbangan perolehan dan keuntungan daripada LRT3 akan bermula pada separuh kedua 2019,” katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di sini hari ini.


Kerja-kerja untuk projek LRT3 telah terhenti selama setahun, selepas Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng mendapati kos sebenar projek itu adalah RM31.45 bilion, daripada RM9 bilion yang diunjurkan oleh kerajaan terdahulu.


Pada Oktober 2018, MRCB George Kent diberitahu oleh kerajaan bahawa projek LRT3 akan diteruskan pada kos yang lebih rendah sebanyak RM16.6 bilion, hampir separuh daripada kos yang lebih awal.


Sebulan selepas itu, syarikat usaha sama tersebut memenangi kontrak RM11.86 bilion bagi LRT3 dari Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang.


Mengenai laporan pakej kerja kontraktor yang tidak dibayar, Wan Tee berkata, mereka telah dibayar sebelum Tahun Baharu Cina. Beliau menjelaskan bayaran adalah tanggungjawab Prasarana dan bukan kumpulan.


“Kontraktor dibayar sebelum Tahun Baharu Cina. Saya rasa mereka menerima 50 peratus daripada bayaran tetapi perkara ini perlu dirujuk kepada Prasarana,” katanya.


Sumber: Utusan Online


49 views
bottom of page