top of page

LRA Sungai Linggi: Kerja pembaikan masih belum selesai


Keadaan muka sauk LRA Sungai Linggi yang masih belum pulih sepenuhnya. - FOTO IHSAN SAINS.

SEREMBAN: Kerja pembaikan pembahagi aliran air Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Port Dickson dan sebahagian Rantau, dekat sini, masih belum selesai sepenuhnya.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama kontraktor sedang berusaha memperbaiki tebing runtuh, selain melakukan lencongan aliran Sungai Linggi sebagai langkah menangani serta mempercepatkan proses pembekalan air.


Bagaimanapun setakat ini, beliau berkata, usaha itu belum dapat diselesaikan 100 peratus dan mungkin mengambil sedikit masa.


"Saya dimaklumkan bahawa pihak JPS Negeri Sembilan dan kontraktor bertungkus lumus sepanjang malam untuk melaksanakan kerja pembaikan itu.


"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak terbabit atas komitmen ditunjukkan.


"Sama-samalah kita berdoa agar pembaikan ini dapat diselesaikan dengan selamat dan segera supaya bekalan air kembali pulih seperti biasa, insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Norzita Ismail, berkata pihaknya akan terus menyalurkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas.


Malah, beliau berkata, SAINS mengambil keputusan untuk membeli air daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bagi membantu keperluan bekalan di kawasan Port Dickson.


"Pengambilan air dari Sepang dilakukan dan diharap dapat membantu meringankan beban sebahagian penduduk di kawasan terjejas seperti Tanah Merah Site A dan Bukit Pelanduk.


"Kami menganggarkan dalam tempoh 48 jam, bekalan air beransur pulih dan sampai ke paip agihan pengguna.


"Namun, tempoh pemulihan turut bergantung pada sistem retikulasi yang mana kawasan tinggi akan mengambil masa berbanding kawasan rendah," katanya.



2 views
bottom of page