top of page

LPT3, naik taraf lapangan terbang antara 5 projek untuk Kelantan


Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra antara dua daripada lima projek utama yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi pembangunan negeri Kelantan.


Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tahun 2019 sejumlah RM1.4 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di Kelantan sebagai sumbangan kerajaan persekutuan.


Menurut beliau, lima projek pembangunan itu diperhalusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui mesyurat Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC), Isnin lalu.


"Dalam mesyuarat ini (ECERDC) ada beberapa projek yang melibatkan kepentingan negeri Kelantan telah pun diperhalusi dan diluluskan oleh perdana menteri.


"Antara projek-projek diluluskan ialah pembinaan LPT3, kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli dan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.


"Selain itu, ECERDC juga meluluskan pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu, yang dilihat mampu menyuraikan kesesakan trafik di bandar Kota Bharu.


"Mesyuarat (MTNg) hari ini juga meneliti projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) yang sebahagiannya telah siap, dan fasa-fasa lain dalam pelaksanaan dan perancangan.


"Saya juga akan memastikan projek ini tidak tergendala dan mengikut jadual ditetapkan serta menjamin kualiti pembangunan yang selamat," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.


Pembangunan adil

Terdahulu Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dalam lawatan kerja dua hari ke Kelantan mempengerusikan mesyuarat pertama MTNg yang turut dihadiri timbalannya, Mohd Radzi Jidin.


Azmin berkata, dasar kerajaan persekutuan kini memberi keutamaan untuk merapatkan jurang antara wilayah seperti yang terkandung dalam tonggak ketiga dokumen kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan merupakan agenda penting untuk tempoh tiga tahun terakhir.


"Kerajaan PH peringkat persekutuan yang dipimpin oleh Dr Mahathir mahu melihat pembangunan saksama dan adil kerana menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk membangunkan negeri, daerah dan setiap wilayah di Malaysia.


"Dalam dokumen sama juga ada enam buah negeriyang dipilih untuk diberikan keutamaan, selain sabah dan sarawak, Kelantan juga menjadi negeri keutamaan untuk mendapat pengagihan peruntukan pembangunan dalam RMK-11," jelasnya.


Mengulas lanjut Azmin berkata, pembinaan LPT3 sejauh 150km bermula di Gemuroh (Terengganu) sehingga di Tumpat dilihat penting kerana akan memberikan impak besar kepada Kelantan.


"Ia akan mewujudkan satu koridor ekonomi baru di pesisiran pantai di Kelantan dan dapat membantu kemajuan Pelabuhan Tok Bali yang telah pun dibina atas inisiatif pihak swasta.


"Kita merasakan potensi pelabuhan ini harus dikembangkan dan dengan wujudnya LPT3 ia akan mewujudkan jaringan perhubungan antara Tok Bali dengan kawasan pesisiran pantai negeri Kelantan.


"Selain itu antara kebaikan projek LPT3 ini ia akan mewujudkan satu perkembangan untuk kawasan-kawasan industri di kawasan Tok Bali bagi memastikan produk-produk dapat dikeluarkan dengan sistem pengangkutan dengan lebih efisen," katanya.


Sumber: MalaysiaKini


84 views
bottom of page