
KUALA LUMPUR: Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) menerusi anak syarikatnya, PT Lotte Chemical Indonesia (LCI), memeterai kemudahan pinjaman AS$2.4 bilion (kira-kira RM10.58 bilion) bagi tempoh 12 tahun dengan Export-Import Bank of Korea, Korea Trade Insurance Corporation serta bank komersial lain.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, LCT yang juga pengeluar polioefin tersendiri pertama di Malaysia, berkata kemudahan itu bagi membiayai pembangunan kilang petrokimia bersepadunya, projek Ethylene Baharu Lotte Chemical Indonesia (Projek Line).
LCT mempunyai kepentingan ekuiti efektif sebanyak 51 peratus dalam LCI yang juga pemilik Projek Line manakala baki 49 peratus dipegang oleh Lotte Chemical Corporation (LCC), syarikat induk LCT dan penjamin kemudahan pinjaman.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul, berkata pembinaan Projek Line itu telah sudah pada Januari 2022 dan dijangka siap pada 2025.
"Saya berpuas hati kerana pembinaan itu berjalan lancar mengikut jadual setakat ini dan kami yakin projek berkenaan dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan," katanya.
Park berkata setakat 6 Januari 2023, LCC dan LCT sudah menyelesaikan sebahagian daripada suntikan ekuiti sebanyak AS$1.6 bilion ke dalam LCI yang mewakili 40 peratus daripada struktur modal terbabit.
"Selesainya kemudahan pinjaman bagi Projek Line ini adalah detik penting selain menerusi pemuktamadan baki dana modal projek berkenaan," katanya.
Hyun Chul juga menyifatkan Projek Line akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 65 peratus.
"Sejajar dengan kedudukan Indonesia sebagai pengimport bersih produk petrokimia, projek ini akan membolehkan kami memanfaatkan jangkaan peningkatan permintaan terhadap produk kami di negara itu," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments