LLM arah kerja pembinaan lebuh raya DASH dihentikan
- Ridhwanisme
- Jun 21, 2021
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan kerja pembinaan yang mengakibatkan insiden perancah besi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh Sabtu lalu, dihentikan.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan, berkata pihaknya sudah memberikan arahan itu kepada syarikat konsesi Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn Bhd (PLDSASB).
Katanya, kerja membabitkan perancah bagi struktur sementara di 10 lagi lokasi termasuk lokasi kemalangan hanya akan diteruskan sehingga kerajaan berpuas hati dengan langkah keselamatan diambil.
"Pada masa sama, perbincangan dan lawatan tapak bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); syarikat PLDSASB; jurutera perunding, Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB), jurutera perunding bebas, Ranhill Bersekutu Sdn Bhd (RBSB) serta kontraktor utama, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) turut diadakan pada Sabtu hingga hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam Sabtu lalu, dua warga Bangladesh cedera apabila perancah besi di tapak pembinaan DASH berhampiran susur keluar Kota Damansara, runtuh.
Kedua-dua mangsa sedang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter ketika insiden berlaku.
Bagaimanapun, pagi semalam, seorang mangsa berusia 43 tahun, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh kerana trauma dan kegagalan fungsi pelbagai organ akibat serangan jantung.
Mohd Shuhaimi berkata, LLM juga sudah mengarahkan PLDSASB, ZLSB dan RBSB melaksanakan penilaian serta pemeriksaan lanjut berhubung kejadian itu.
Katanya, LLM turut mengarahkan pematuhan ke atas reka bentuk perancah digunakan merangkumi faktor keselamatan, tatacara kerja, keperluan prosedur dan dokumentasi yang dilaksanakan, pengawasan di tapak serta aspek lain kemungkinan insiden merangkumi jentera, bahan binaan, keadaan tapak, struktur sedia ada dan faktor persekitaran.
"Selain itu, sebagai langkah penambahbaikan supaya risiko kemalangan dapat dielakkan, LLM sudah berbincang dengan syarikat konsesi dan juruperunding termasuk Lembaga Jurutera Malaysia, JKKP dan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengkaji penambahbaikan membabitkan kerja pembinaan lebuh raya baharu," katanya.
Beliau berkata, LLM turut merakamkan penghargaan kepada PLDSASB kerana membantu mengurangkan kesulitan keluarga mangsa terbabit termasuk menguruskan penghantaran balik jenazah dan sumbangan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.
Sumber: Berita Harian
Comments