Lima lokasi projek Pan Borneo alami kelewatan
- Ridhwanisme
- Jun 11, 2022
- 2 min read

KUCHING: Lima daripada 25 seksyen di dalam 11 pakej kerja kontrak (WPC) fasa satu projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak mengalami kelewatan dan dijangka siap dalam suku pertama tahun depan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata secara keseluruhan projek pembinaan di 20 seksyen berjalan lancar dan dijadual siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
Beliau berkata, lima seksyen yang mengalami kelewatan itu ialah di Bukit Begunan dalam WPC 4, Spaoh (WPC 5), Sarikei (WPC 6), Tatau (WPC 9) dan Lambir (WPC 11).
"Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang Jelajah FTRoadpedia yang bermula dari Kuching ke Miri, beberapa seksyen itu mengalami kelewatan berikutan beberapa faktor terutamanya kekurangan pekerja serta jentera.
"Saya dapati seksyen yang paling kritikal ialah di Lambir apabila banyak lagi kerja perlu dilaksanakan termasuk jalan sementara tidak diturap kerana ia perlu untuk keselesaan pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup Jelajah FTRoadpedia anjuran Kementerian Kerja Raya di Miri, hari ini.
Menerusi jelajah berkenaan yang bermula dari Kuching pada Khamis lalu, Fadillah bersama pegawai kanan KKR dan Jabatan Kerja Raya Sarawak menaiki bas sejauh 786 kilometer untuk melihat sendiri perkembangan projek mega dengan kos RM16 bilion itu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kontraktor disaran menggunakan pekerja serta jentera di seksyen yang sudah berjaya disiapkan untuk mempercepatkan pembinaan di lima seksyen yang mengalami kelewatan itu.
"Misalnya di Seksyen Lambir, kontraktor boleh menggunakan jentera serta pekerja yang kini membina jejantas berdekatan Lapangan Terbang Miri kerana jejantas itu sudah siap dan akan dibuka bulan ini.
"Cabaran lain yang dihadapi di seksyen yang mengalami kelewatan itu termasuk reka bentuk jalan raya di Bukit Begunan yang perlu diolah semula selain kesulitan untuk memindahkan paip air milik Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) di Lambir," katanya.
Menurutnya lagi, Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan menggunakan kaedah pusingan 'U' sebaliknya akan menggunakan pusingan 'P"untuk pengguna jalan yang mahu berpatah balik.
"Jika kaedah pusingan 'U' kenderaan yang mahu berpatah balik akan menggunakan laluan kanan dan ia mendedahkan kepada risiko kemalangan kerana pemandu perlu memperlahankan kenderaan di laluan laju sebelum membuat pusingan 'U'.
"Sebab itu kita memperkenalkan pusingan 'P' iaitu membina jalan susur bagi membolehkan kenderaan melintas jalan untuk ke laluan sebelah," katanya sambil memaklumkan terdapat 225 pusingan 'P' dibina sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Suhaimi Hassan berkata, beliau kagum kerana pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo lebih cepat berbanding Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Semenanjung.
"Tahniah kepada rakyat kerana projek ini dapat dilaksanakan dengan cepat malah jauh lebih pantas berbanding projek PLUS dahulu.
"Hargailah kemudahan yang disediakan ini sebaiknya," katanya ketika ditemui sebaik tamat Jelajah FTRoadpedia itu.
Untuk rekod, lebuh raya PLUS sepanjang 773 kilometer dari Johor ke Perlis mula dibina pada tahun 1982 dan mengambil masa selama 12 tahun untuk disiapkan pada 1994.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri pula bermula pada 2015 dan selepas tujuh tahun, kini projek itu sudah 85 peratus siap.
Sumber: Berita Harian
Comentários