Lima lokasi alami kerosakan



JALAN mendap disebabkan kejadian tanah runtuh di Jalan Pos Betau-Cameron Highlands menimbulkan kebimbangan kepada pemandu kenderaan yang melalui laluan berkenaan.


Kini sekurang-kurangnya lima tempat berlakunya kerosakan jalan menuju ke pusat peranginan tanah tinggi bertaraf antarabangsa itu.


Bagi Aziz Abd Rahman 58, kejadian tanah runtuh di Jalan Pos Betau-Cameron Highlands dilihat semakin bertambah terutama sejak musim tengkujuh melanda negeri ini yang menyebabkan hujan berlaku secara berterusan.


Menurutnya, hakisan tanah yang berlaku di kawasan itu menyebabkan kejadian jalan mendap dan runtuh selain tidak rata hingga membahayakan pengguna di laluan terbabit.

Katanya, pemandu perlu sentiasa berhati-hati sepanjang laluan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku terutama ketika hujan berlaku.


“Usaha pihak berwajib membaiki jalan yang runtuh dilakukan secara berterusan namun kelewatan mungkin berlaku disebabkan faktor bentuk muka bumi dan hakisan tanah secara berlebihan di kawasan curam.


“Saya lihat langkah keselamatan diambil pihak berwajib termasuk kontraktor yang melakukan kerja membaiki kerosakan jalan juga memuaskan,” katanya.


Beliau berkata, Jalan Pos Betau-Cameron Highlands menjadi laluan utama pelancong dari pantai timur, tengah dan selatan termasuk Singapura ke pusat peranginan tanah tinggi itu.


Aziz berkata, sebagai pengguna diharapkan usaha membaiki kerosakan di laluan itu segera dilakukan bagi memastikan kehadiran pelancong ke Cameron Highlands tidak terjejas terutama sempena tahun melawat Malaysia 2020.


Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Osman berkata, bentuk muka bumi yang berbukit disepanjang Jalan Pos Betau-Cameron Highlands menjadi faktor utama kejadian tanah runtuh hingga menyebabkan berlakunya mendapan pada jalan.


“Setiap kali musim hujan kejadian tanah runtuh hingga menyebabkan jalan mendap membahayakan pengguna jalan itu.


“Bagaimanapun, saya memuji tindakan segera dilakukan pihak berwajib membaiki kerosakan jalan yang berlaku,” katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #CameronHighland

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.