top of page

Liew Hau Seng CEO baharu IJM Corporation



KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah IJM Corporation Bhd mengumumkan pelantikan Liew Hau Seng sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan baharu syarikat itu berkuat kuasa 1 September 2019.


Beliau menggantikan Datuk Soam Heng Choon yang akan bersara pada pertengahan Ogos ini.


Bercakap mewakili lembaga pengarah itu, Pengerusi IJM Corp, Tan Sri Abdul Halim, berkata pelantikan Liew dan peralihan itu adalah sebahagian daripada proses penggantian yang dirancangkan.

“Kami yakin Liew akan terus mengemudi kedudukan kewangan IJM yang kukuh serta pimpinan di peringkat industri. Semangat, kemahiran, keupayaan strategiknya yang kukuh dan rekod prestasi mantap beliau akan membantu kumpulan ini mencapai matlamat jangka panjang.


“Sehubungan itu, barisan Lembaga Pengarah amat mengalu-alukan kehadiran Liew menggalas tugas itu dan berharap untuk terus melihat kejayaan operasi dan kewangan di bawah pimpinan beliau," katanya dalam satu kenyataan.


Liew, 53, memulakan kerjaya di IJM pada 1989 sebagai jurutera bahagian industri. Beliau adalah jurutera kanan pada 1995 sebelum dinaikkan kepada pengurus kanan projek (2003), pengarah projek (2006), pengarah operasi (2010) dan seterusnya sebagai pengarah eksekutif pada 2012 yang menerajui operasi tempatan bahagian itu.


Pada 2015, Liew dilantik menyandang tanggung jawab terkini sebagai pengarah urusan bahagian pembinaan, iaitu bahagian perniagaan terbesar berdasarkan perolehan.


Antara pencapaian beliau adalah menerajui perniagaan pembinaan IJM di Malaysia dan India, dan ketika ini menyelaras kontrak bernilai RM6.7 bilion.



10 views
bottom of page