Lelaki melecur di muka, gagal curi kabel elektrik


PORT DICKSON 13 Feb. - Lebih 5,000 pengguna di daerah ini terjejas bekalan elektrik selama kira-kira 30 minit semalam gara-gara perbuatan seorang lelaki cuba mencuri kabel elektrik di pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ambang Kota, Chuah dekat sini.


Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 27 tahun itu turut melecur di bahagian muka dan badan akibat terkena renjatan elektrik semasa melakukan jenayah itu.


Katanya,  suspek yang pernah ditahan atas kesalahan dadah serta mencuri berjaya dikesan pihak polis semasa mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson petang semalam. 


"Polis yang menerima maklumat kejadian curi kabel eletrik pada pukul 12.05 tengah hari membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson. Pihak hospital mengesahkan ada seorang pesakit dalam keadaan seluruh muka melecur dan hampir 20 peratus bahagian badannya turut melecur. 


"Pesakit itu dirawat di Zon Merah sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban memandangkan keadaannya agak kritikal akibat terkena renjatan elektrik," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 


Aidi Sham berkata, kejadian curi kabel itu disedari orang awam yang terdengar letupan kuat di pencawang tersebut sebelum bekalan elektrik terputus di kawasan Site C, Chuah sehingga ke Bukit Palong. 


Kata beliau, mereka memaklumkan ternampak seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa dan baju terkoyak seperti terbakar melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah motosikal sejurus letupan.


Jelasnya, juruteknik TNB yang melakukan pemeriksaan turut mengesahkan kehilangan komponen elektrik di pencawang tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Sumber: Utusan Online


#evolusibina #curikabel #TNB

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.