KUALA LUMPUR: Pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang terhenti akibat kenaikan kos pembinaan disambung semula dan dijangka siap serta dibuka secara berperingkat mulai tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerja-kerja pembinaan projek yang kini 91 peratus siap disambung semula pertengahan bulan ini selepas isu kontraktual diselesaikan.
"Syarikat konsesi perlu mendapatkan dana kewangan tambahan bagi menanggung peningkatan kos dan ia telah diselesaikan dengan pihak bank," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis dikemukakan Rodziah Ismail (PH-AMPANG) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan dan kerangka masa bagi menyelesaikan masalah berkaitan projek EKVE yang terbantut bertahun lamanya di samping menilai semula keperluan membina lebuh raya baharu khususnya Projek Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE) selagi mana EKVE tidak disempurnakan.
Mengulas lanjut Alexander berkata, projek KL-NODE adalah sebuah lebuh raya sambungan dari Lebuhraya EKVE yang merupakan pelengkap Sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Outer Ring Road – KLORR) di bahagian utara yang dirancang oleh pihak kerajaan.
Beliau berkata fungsi utama KLORR adalah menyuraikan aliran trafik di semua bahagian tanpa melalui pusat bandaraya dan sistem jalan raya sedia ada seperti Sistem Lingkaran Tengah 1 (MRR1) dan Sistem Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang telah sesak.
"Oleh yang demikian, cadangan projek KL-NODE adalah juga merupakan satu keperluan di mana penangguhan atau kelewatan pelaksanaannya dijangka akan memberikan implikasi kos yang tinggi seterusnya akan menyebabkan projek tersebut tidak berdaya maju untuk dilaksanakan secara penswastaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments