top of page

Lebuh raya Seremban-Temerloh: Tunggu kata putus Pahang


Gambar hiasan

JEMPOL: Kerajaan negeri tiada halangan untuk meneruskan pembinaan lebuh raya dari Seremban ke Temerloh yang sebelum ini menjadi antara cadangan dalam Draf Rancangan Tempatan daerah Jempol 2030.


Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, sebuah syarikat swasta berminat bagi pembinaan lebuh raya yang akan mempunyai beberapa susur keluar di Kuala Pilah dan Jempol.


Bagaimanapun, katanya, projek itu tertangguh berikutan belum mendapat kata putus daripada kerajaan negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri Sembilan tiada masalah bagi pembinaan lebuh raya itu yang dijangka memberi keselesaan kepada orang ramai, namun perlu menunggu persetujuan dari kerajaan Pahang.


“Pembinaan lebuh raya itu akan membantu menjimatkan masa perjalanan dari daerah ini, sama ada untuk ke Seremban atau Temerloh sekali gus dapat mempromosi produk pelancongan dan ekonomi penduduk setempat,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti daerah Jempol di Stesen Bas Bahau, di sini, hari ini.


Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol, Raja Norazli Raja Nordin.


Mengulas lanjut, Kok Seong percaya projek lebuh raya akan mendapat kelulusan kerajaan Pusat, namun sebelum itu, ia perlu menerima kelulusan dari Pahang kerana turut membabitkan laluan dari daerah Bera hingga Temerloh.


Sementara itu, Kok Seong berkata, kerajaan negeri sudah membuat permohonan daripada kerajaan Pusat berjumlah RM100 juta untuk menaik taraf jalan Kuala Pilah ke Seremban bagi mengatasi kesesakan di laluan berkenaan.


Katanya, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya projek naik taraf jalan Bandar Seri Jempol ke Kemayan dan Bandar Seri Jempol ke Muadzam Shah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


“Ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memajukan kawasan Negeri Sembilan Timur sebagai kawasan agropolis,” katanya.



92 views
bottom of page