top of page

Lebuh raya Kadok-Ketereh dijangka siap sebelum Aidilfitri


KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menjangkakan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan laluan Kadok ke Ketereh sejauh 6.85 kilometer (km) dapat digunakan sebelum Aidilfitri ini.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata buat masa ini, kerja terakhir pakej 2a itu sedang rancak dilakukan dan dijadualkan siap lebih awal.


Namun begitu, katanya, beliau tidak mahu mereka membuat kerja tergesa-gesa sehingga mengetepikan kualiti.


“Saya mendapat taklimat hari ini daripada agensi pelaksanaan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pihak kontraktor yang memperoleh kerja pembinaan lebuh raya membabitkan pakej 2a (Kadok-Ketereh) dan 2b (Ketereh-Kok Lanas).


“Saya menegaskan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, selain mereka perlu menjamin kualiti terbaik bagi memastikan ia memberi kesejahteraan kepada pengguna jalan raya. Saya diberikan jaminan pihak JKR dan kontraktor bahawa mereka akan memantau projek ini supaya dapat menjamin kualiti terbaik.


“Projek pakej 2a dari Kadok ke Ketereh dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan saya harap ia dapat disiapkan sekurang-kurangnya dapat digunakan sementara ketika musim perayaan Aidilfitri,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di sini, hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg), berkata pihak kementerian sedang meneliti permohonan kerajaan negeri supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 km dari Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di Machang.


“Kita tidak mahu bebanan kewangan dan implikasi perundangan kepada Kerajaan Persekutuan.


“Satu jawatankuasa antara kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya sedang berbincang berhubung perkara itu,” katanya.


Sumber: Berita Harian


25 views
bottom of page