SHAH ALAM - Lebih 95 peratus daripada orang awam bersetuju dengan reka bentuk awal projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menerusi kaji selidik yang dijalankan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut memaklumkan kira-kira 10,000 pengunjung menyertai sesi libat urus pembangunan projek tersebut dan lebih 1.2 juta capaian melalui platform media sosial.
"Dalam talian agak mengujakan apabila lebih 1.2 juta tengok secara dalam talian dan 10,000 secara fizikal maknanya rationya adalah besar tetapi dalam talian membuktikan minat orang ramai sangat tinggi," katanya ketika ditemui di ruang pameran projek pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada Jumaat.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut memberitahu pihaknya menerima banyak cadangan sepanjang sesi libat urus serta secara dalam talian dijalankan dan akan meneliti cadangan-cadangan berkenaan.
"Sudah pasti banyak perkara yang dicadangkan (oleh orang ramai namun) saya perlu melihat laporan yang terperinci dan sebahagiannya (cadangan) itu ada cuma komponennya hendak diubah-ubah.
"Sebagai contohnya untuk tempat sukan lasak, tapak untuk pasar pagi kita masih siapkan dan kita akan tengok kesesuaian berdasarkan cadangan-cadangan daripada pihak yang hadir," katanya.
Pameran awam pembangunan semula KSSA diadakan bagi memberi peluang orang awam untuk menilai pembinaan projek seluas 76.08 hektar dan pameran tersebut berakhir pada Jumaat.
Orang ramai bagaimanapun masih boleh memberi cadangan terhadap struktur dan pelan pembangunannya dan memberi maklum balas melalui emel kssa.maklumbalas@gmail.com.
Pada 5 Januari lalu, Amirudin memaklumkan pembangunan semula KSSA termasuk stadium negeri akan bermula pada suku pertama tahun ini.
Sumber: Sinar Harian
Comments