top of page

LBS sasar jualan RM1.6 bilion tahun ini



PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka tempatan, LBS Bina Group Bhd menyasarkan jualan RM1.6 bilion bagi 2020 menerusi pelancaran projek hartanah baharu meskipun persekitaran pasaran kekal mencabar.


Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San, berkata pemaju hartanah itu berjaya melepasi sasaran jualannya tahun lalu dengan mencapai RM1.63 bilion, lebih tinggi berbanding RM1.526 bilion yang dicatatkan pada 2018.


“Ini meskipun keadaan pasaran mencabar berikutan sentimen pengguna yang lemah dan ketegangan perang perdagangan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi LBS pada 2019 dan tinjauan 2020 di sini, hari ini.

Hock San berkata, LBS bercadang untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.321 bilion pada 2020 dengan sebahagian besar projek tertumpu di Lembah Klang, iaitu penambahan fasa baharu bagi projek yang sedang berjalan di perbandaran KITA@Cybersouth, perbandaran Alam Perdana dan Midhills 2.


Katanya, projek lain yang akan dilancarkan pada 2020 termasuk projek rumah satu tingkat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat; unit berkembar dan rumah teres dua tingkat di Cameron Golden Hills, Cameron Highlands; dan rumah mampu milik satu tingkat di Chemor, Perak.


“Selepas berjaya melepasi sasaran jualan pada tahun lalu dengan mencapai RM1.63 bilion, kami menyasarkan jualan kekal berdaya tahan dengan sasaran RM1.6 bilion bagi 2020.


“Kami melihat permintaan untuk hartanah masih kukuh terutama di Lembah Klang dan kami yakin sasaran jualan itu mampu dicapai,” katanya.


Mengulas mengenai tinjauan pasaran hartanah di Malaysia pada 2020, Hock San berkata, persekitaran pasaran kekal mencabar, namun jangkaan kadar faedah akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas tahun ini dijangka menyokong permintaan terhadap hartanah.


Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya sebelum ini mendapati permintaan terhadap hartanah kediaman kekal utuh dengan lokasi dan harga menjadi faktor utama kepada pembeli hartanah.


Justeru, katanya, berdasarkan corak permintaan itu, LBS lebih berfokus dalam melancarkan projek baharunya bagi memastikan ia menepati selera dan permintaan pembeli hartanah di negara ini.


“Sentimen sederhana terhadap perumahan dan kriteria pinjaman perumahan lebih ketat akan terus dilaksanakan tahun ini.

“Namun sebagai ‘Pemaju Perumahan Rakyat’, LBS akan tetap meneruskan usaha di dalam mempertingkatkan kemudahan dan memenuhi keperluan bakal pembeli rumah moden dengan menampilkan kelainan dari segi ruang dan reka bentuk yang inklusif untuk pengalaman gaya hidup yang bermakna,” katanya.


Pada 2020, LBS akan melaksanakan kempen “LBS Fabulous 2020” untuk memberi ganjaran yang menarik kepada pembeli hartanah, yang mana dengan hartanah LBS terpilih, pembeli berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai sehingga RM1 juta, termasuk sebuah Proton X70.



14 views
bottom of page