top of page

Laporan audit: PKNS ambil tindakan penambahbaikan segera


Laporan audit: PKNS ambil tindakan penambahbaikan segera Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Gambar hiasan: PKNS

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memastikan setiap penemuan dan teguran baru-baru ini diambil tindakan penambahbaikan segera, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas.


Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata, dalam menuju ke hadapan PKNS telah dan sedang dalam tindakan proaktif antaranya mewujudkan pasukan khas untuk meningkatkan pemantauan secara teliti terhadap kerja di tapak oleh pihak kontraktor, perunding dan syarikat penswastaan.


"PKNS juga telah menambah baik beberapa strategi Pelan Pemulihan bagi mengurangkan bebanan aliran tunai antaranya melaksanakan konsep pembangunan hartanah secara ‘Jual dan Bina’ di samping memastikan pengurusan risiko dilakukan secara komprehensif bagi mengelakkan perkara berbangkit daripada berulang”, tambahnya.


Mahmud berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada hasil penemuan pencapaian penjualan hartanah tidak mencapai sasaran antaranya tahun pengauditan yang dilaksanakan pada 2017 sehingga Jun 2021 adalah fasa di mana pasaran hartanah dunia dalam keadaan perlahan ekoran ekonomi global yang tidak stabil ditambah pula dengan kesan pandemik Covid-19.


"Pembeli juga sukar mendapat pinjaman disebabkan peraturan dan garis panduan oleh Bank Negara Malaysia yang ketat di samping, institusi pinjaman dan bank sangat berhati- hati dalam meluluskan pinjaman,” katanya.


Beliau berkata, PKNS mengambil maklum dan memandang serius setiap penemuan dan teguran Jabatan Audit Negara bagi proses penambahbaikan dan PKNS telah memberikan maklum balas kepada keseluruhan penemuan seperti mana direkodkan di dalam laporan penuh Ketua Audit Negara.


Katanya, PKNS sentiasa menjunjung prinsip semak dan imbang serta mengambil serius amalan terbaik tadbir urus korporat dalam setiap proses kerja bagi memastikan produk-produk hartanah PKNS adalah berkualiti, selamat dan selesa untuk semua pelanggan.

Isnin lepas, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Aktiviti Agensi dan Pengurusan


Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2020 Siri 1 mendapati beberapa kelemahan dikenal pasti dalam pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman PKNS.


Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan berkata, antara kelemahan itu ialah prestasi pembangunan hartanah kediaman melalui pelantikan kontraktor kurang memuaskan kerana projek lewat disiapkan berbanding jadual asal.


"Pencapaian dan pengukuhan aliran tunai bagi penjualan hartanah kediaman juga tidak mencapai sasaran kerana hasil diterima rendah berbanding kos projek yang dibayar,” kata Nik Azman.


Sumber: Sinar Harian

16 views

Comments


bottom of page