top of page

Lampu LED di jalan persekutuan, negeri


KOTA BHARU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) di semua jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata rancangan itu dijangka dilaksanakan secepat mungkin, bagi mengatasi masalah kawasan gelap, sekali gus menjamin keselamatan rakyat.


Katanya, tiada peruntukan khas diperlukan bagi melaksanakan projek itu kerana ia menggunakan `modul perniagaan’ dan ia akan dijalankan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Beberapa Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kami hari ini di bawah isu perumahan.


“Selain itu, kementerian juga dalam proses menyerahkan pengendalian semua jalan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada PBT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama EXCO Kerajaan Tempatan dan YDP PBT Negeri Kelantan di JKR 10 di sini, hari ini.


Zuraida berkata selain isu perumahan, beberapa isu lain juga dibangkit dalam mesyuarat yang berlangsung lebih satu jam itu termasuk isu parit dan longkang dan sistem pepejal.


“Untuk pengurusan sistem pepejal ini, ia juga satu masalah yang kerajaan negeri setuju untuk diselesaikan. Kementerian akan bawa isu ini untuk dibincangkan lebih lanjut termasuk kaedah sistem yang akan digunakan,” katanya.


Terdahulu, Zuraida melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya.


Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Ahmad berkata antara isu yang dibincangkan adalah isu sampah dan rumah mampu milik.


Katanya, Kerajaan Persekutuan mencadangkan kerajaan negeri mengenal pasti tanah untuk dijalankan projek itu terutama di kawasan bandar tetapi mereka mendapati kawasan bandar Kota Bharu sudah padat.


“Kerajaan Persekutuan mencadangkan kawasan bandar bagi memudahkan penduduk berurusan dengan agensi atau jabatan persekutuan tetapi kami mencadangkan tanah di beberapa daerah seperti di Machang, Tumpat dan Pasir Mas yang berpeluang dilaksanakan projek itu,” katanya.



20 views
bottom of page