Johor Bahru: Kerajaan negeri bercadang membawa teknologi baharu kepada lampu jalan dan isyarat di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, hasrat itu juga sebagai menyahut seruan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menjadikan negeri ini maju pada 2030.
"Besar harapan saya untuk kita bawa teknologi baharu kepada lampu jalan dan lampu isyarat yang ada di seluruh negeri Johor.
"Sebagai contoh, daripada secara konvensional, lampu yang lama mungkin boleh gunakan kaedah baharu smart traffic light dan smart street lighting atau boleh guna solar dan sebagainya," katanya ketika ditemui, semalam.Harian Metro, semalam melaporkan pengguna jalan raya di sekitar bandar raya ini menyuarakan rasa tertekan apabila sering berdepan masalah kesesakan di beberapa kawasan sehingga mengganggu tugasan harian mereka.
Lebih pelik, kebanyakan pengguna tidak mengetahui punca kesesakan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, lampu isyarat pintar juga boleh menjadi penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di Johor memandangkan jumlah kenderaan di jalan raya juga semakin bertambah.
"Saya tak tahu kenapa sejak beberapa bulan ini, kesesakan teruk di Johor, mungkin lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai nak keluar rumah, jadi saya harapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat mengambil inisiatif membuat smart traffic light," katanya.
Mohamad Fazli berkata, pihaknya ada memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi tujuan itu ketika bertemu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
"Kesempatan yang lalu, saya ada jumpa YB (Yang Berhormat) Fahmi Fadzil dan ada mohon peruntukan kerana apabila dengar beliau cerita mengenai digital, saya pun mahu digitalkan lampu jalan dan isyarat ini.
"Sebelum saya jadi YB, saya kerja di TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang mana kita ada satu mekanisme untuk pastikan sebelum orang lapor lampu rosak, kita sudah tahu lampu itu rosak.
"Jadi, kita nak JKR naik taraf perkara sebegini sebab Johor ini sempadan utama negara, jadi imej Malaysia pun ada di Johor dan di daerah Johor Bahru.
"Saya sangat harapkan kita (JKR dan kerajaan negeri) dapat buat kajian mengenai teknologi baharu ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments