top of page

Laluan Sungai Buloh-Assam Jawa siap November ini



PROJEK menaik taraf Jalan Persekutuan FT54 dari Sungai Buloh ke Assam Jawa, di Kuala Selangor yang bakal siap sepenuhnya November ini.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, projek menaik taraf jalan itu siap lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu April 2021.


Menurutnya, selain dapat disiapkan awal, projek membabitkan laluan sepanjang 25 kilometer (km) itu berjaya mencatatkan penjimatan kos kira-kira RM 10 juta.



"Penjimatan ini adalah hasil perancangan teliti kontraktor yang dilantik selain kerjasama erat antara agensi Kerajaan Persekutuan, kontraktor dan Kerajaan Negeri.


"Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan projek kerajaan dapat dilakukan dengan efektif dan menjimatkan kos," katanya selepas melawat tapak projek itu hari ini.


Fadilah berkata, projek itu akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya berkenaan yang sebelum ini terpaksa melalui jalan berselekoh tajam.


Selain itu katanya, laluan itu diluruskan dan menjadikan jarak perjalanan sejauh 30 km dipendekkan kepada 25 km," katanya.


Kerja melebar dan menaik taraf jalan berkenaan bermula 10 Ogos 2016 dan membabitkan kos RM436 juta.


Sementara itu, penduduk setempat, Samsol Buyong, 70, yang sudah menetap di Assam Jawa sejak 33 tahun lalu berkata, projek yang dimulakan empat tahun lalu dinantikan oleh penduduk setempat kerana ia mampu memberi keselesaan dan menjimatkan masa perjalanan penduduk.


"Sebelum ini, jalan hanya satu lorong dan kerap berlaku kesesakan serta kemalangan terutamanya pada musim perayaan.


"Tetapi, dengan adanya pelebaran dan naik taraf ini, ia memudahkan penduduk untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan mudah, selain keadaan jalan yang berturap dan lebih selesa," katanya.


Bagaimanapun, Samsol berharap pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya selain peka dan prihatin dengan keadaan sekitar.


"Kebanyakkan rumah penduduk berada di tepi jalan. Saya harap pemandu mengikut had laju yang ditetapkan dan tidak menyalahgunakan kemudahan disediakan," katanya.


Sumber: Harian Metro


22 views
bottom of page