top of page

Laluan FT 185 Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat



IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan jalan persekutuan FT 185 Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini selamat untuk dilalui pengguna jalan raya.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun menegaskan gambar cerun runtuh di laluan berkenaan adalah gambar lama yang di tularkan semula.


"Kerajaan negeri mengambil berat keresahan pengguna setelah gambar cerun runtuh di laluan Jalan Persekutuan FT 185 Simpang Pulai-Cameron Highlands ditularkan semula.


"Visual yang tular itu adalah gambar lama yang dibangkitkan semula di media sosial," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.



Mohd Zolkafly berkata, pihaknya melalui agensi teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sudah menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat cerun yang rebak berdekatan dengan jalan berkenaan, berpunca daripada hakisan hujan dan keadaan muka bumi yang merupakan kawasan lembah.


Bagaimanapun, katanya keadaan tidak seteruk seperti yang ditularkan di media sosial.


"Hasil pemerhatian mendapati runtuhan berlaku di cerun tambakan yang merupakan cerun tanah, namun sebelum ini kerja-kerja penambahbaikan cerun sudahpun dijalankan iaitu membabitkan kerja-kerja 'tie back wall' dan 'micropile slab' di sebahagian kawasan runtuhan itu.


"Pemeriksaan lanjut juga mendapati jalan tidak mengalami sebarang mendapan atau keretakan," katanya.


Beliau berkata, pihak JKR membuat pemantauan gerakan tanah setiap tiga jam di kawasan berisiko tanah runtuh.


Zolkafly berkata, kerajaan negeri akan membuat permohonan sebanyak RM120 juta dengan kerajaan Persekutuan untuk membaiki cerun berkenaan.


"Kerajaan negeri juga akan memastikan projek pembaikan ini dapat di senaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) supaya satu penyelesaian yang terbaik dapat dimuktamadkan," katanya.


Beliau turut menasihati pengguna jalan raya mematuhi peraturan dengan tidak memberhentikan kenderaan untuk mengambil gambar di lokasi berkenaan.


"Kita berharap pengguna jalan raya tidak mengambil gambar dan berhenti kerana kawasan itu adalah kawasan yang tidak dibenarkan untuk parkir, berehat, mengambil gambar dan sebagainya," katanya.



19 views
bottom of page