Lagi pihak bantah projek pencahayaan di Padang Ipoh


PIHAK kontraktor telah membina penghadang di kawasan yang bakal dibangunkan di Padang Ipoh di sini termasuk sebahagian tangga batu Kelab Diraja Ipoh yang dibuka pada tahun 1895 ketika tinjauan hari ini. -UTUSAN/ZAKI SALLEH

IPOH: Persatuan Warisan Perak (PHS) membantah keras sebarang projek menaik taraf di Padang Ipoh kerana tindakan tersebut hanya merosakkan keindahan serta nilai warisan padang berusia 130 tahun itu yang telah menyaksikan banyak peristiwa bersejarah dan penting berlaku di bandar ini.


Sekali pun kelulusan untuk membangun telah diberi tetapi selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih boleh membatalkan kerja-kerja tersebut mengikut bidang kuasa yang ada.


Ahli Jawatankuasa PHS, Mohd. Taib Mohamed berkata, Padang Ipoh sepatutnya dikekalkan seperti keadaan sedia ada kerana nilai warisan sebegitu yang dikehendaki oleh warga bandar ini.


Katanya, cadangan untuk membina layar utama untuk memaparkan maklumat tentang bandaraya Ipoh kononnya bagi menarik kunjungan pelancong ke bandar ini juga adalah tidak perlu.


“Adalah lebih baik MBI membaiki dan menyelenggara papan-papan iklan sedia ada di sekitar bandar Ipoh termasuk yang usang untuk memaparkan maklumat berkaitan pelancongan atau bandar ini.


“Jika pun projek tersebut dibiayai oleh pihak lain, tetapi MBI selaku PBT tidak wajar hanya melihat daripada aspek pembangunan. Sama ada kecil atau besar, kerosakan pada Padang Ipoh akan dikesali oleh generasi akan datang bandar ini,” ujarnya di sini hari ini.


Gesaan sama disuarakan Historuism, iaitu sebuah badan bebas yang giat melakukan penyelidikan dan mempromosikan pelancongan sejarah negara.


Kata pengasasnya, Mohd. Fareq Rizal Mohd. Fisal, pihak berkuasa di negara ini sepatutnya mencontohi negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam yang amat sensitif dengan kawasan warisan dan bersejarah.


“Mungkin Padang Ipoh belum diwartakan sebagai tapak warisan, tapi tidak bermakna pihak berkuasa bebas menjalankan kerja-kerja pembangunan,” tegasnya.


Difahamkan, satu projek cahaya dan bunyi hendak dibangunkan di Padang Ipoh dengan kos RM3 juta yang dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).


Projek ini akan melibatkan pencahayaan menarik di kawasan Padang Ipoh termasuk pancuran air yang pastinya menarik para pengunjung serta pembinaan layar gergasi.


Semalam, sekumpulan individu yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Penduduk Bandar Ipoh menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri bagi membantah projek yang hendak dibangunkan di Padang Ipoh.


Kumpulan itu berkata, Padang Ipoh adalah warisan bandar raya itu yang perlu dipertahankan.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #Perak

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.