top of page

Kutipan tol di empat lebuh raya bakal dimansuhkan


PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya SMART.


Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, sebagai langkah pertama, kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.


Kenyataan itu berkata, dengan pengambilalihan itu, caj kesesakan akan diperkenalkan sebagai ganti kepada pengguna di empat lebuh raya berkenaan.


"Pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.


"Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam dan 5 pagi di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma,"  katanya di sini hari ini.


Tambah kenyataan itu, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.


Menurutnya, hasil kutipan caj kesesakan akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya selain bayaran pinjaman.


"Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam serta diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.


"Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai," katanya.


Kenyataan itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah berjanji di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat mengikut terma perjanjian konsesi.


"Ini sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuh raya," katanya.


Sumber: Kosmo!


20 views
bottom of page