top of page

Kuat kuasa semula peraturan guna kaedah IBS mulai tahun depan


Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI: Peraturan mewajibkan projek pembinaan swasta yang melebihi RM50 juta menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), akan dikuatkuasakan semula mulai tahun depan.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kualiti pembinaan di negara ini.


Beliau berkata, kerajaan sudah beberapa kali cuba mewajibkan sektor swasta menggunakan IBS sejak 2016, namun kurang mendapat sambutan.


“Mulai 2020, kerajaan akan menguatkuasakan semula peraturan supaya sektor swasta yang membangunkan projek pembinaan melebihi RM50 juta, menggunakan kaedah IBS.

“Setakat ini, hanya 30 peratus sektor swasta di negara ini menggunakan kaedah IBS. Ini berbanding projek pembangunan kerajaan yang membabitkan peruntukan melebihi RM10 juta, mencatat 75 peratus menggunakan kaedah IBS,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book of Records (MBoR) bagi Pangkalan IBS automatik sepenuhnya terbesar di Malaysia, di Pangkalan IBS Forest City, Gelang Patah, dekat sini, hari ini.


Yang turut hadir, Pengurus Besar Eksekutif Sistem Binaan Berindustri CGPV (CIBS) Sdn Bhd, Jerry Wang; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid; dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.


Terdahulu, Baru melawat Pangkalan IBS Forest City yang mencipta rekod dalam MBoR sebagai pangkalan IBS automatik sepenuhnya terbesar di Malaysia.


Pangkalan IBS Forest City dilancarkan pada Ogos 2017 membabitkan pelaburan RM2.6 bilion dengan teknologi dari Jerman, Itali dan China.


Kilang seluas 18 hektar itu terdiri daripada lapan barisan pengeluaran, loji pembungkusan konkrit dan ruangan penyimpanan.


Kapasiti pengeluarannya cukup untuk bekalan satu juta meter persegi kawasan binaan yang bersamaan dengan 9,000 unit pangsapuri, setahun.



47 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page