KPower dapat kontrak bina loji kuasa hidro di Perak

Updated: Dec 10, 2020


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Powernet Bhd (KPower) menerusi anak syarikat milik penuhnya, KPower Engineering Sdn Bhd (KPEng) meraih kontrak bernilai RM296 juta bagi membangunkan projek loji jana kuasa hidro mini di Perak.


KPower dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak yang diraih KPEng daripada Kangsar Hidro Sdn Bhd (Kangsar Hidro) itu antara lain membabitkan kejuruteraan, reka bentuk, perolehan, pembinaan, pentauliahan dan penyiapan loji jana kuasa hidro mini dengan kapasiti 27.3 megawatt (MW) di Sungai Singor.


KPEng, katanya menjangkakan projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh 48 bulan daripada tarikh permulaan atau pada 24 Disember 2024, yang mana lebih awal.


"Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih, pendapatan lebih kukuh dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 hingga 30 Jun 2025," katanya.


Skop kerja bagi projek loji jana kuasa hidro mini merangkumi kajian awal, kejuruteraan, pembinaan, penyeliaan, pengujian, pelaksanaan, ujian kebolehpercayaan, pemulihan kecacatan selama tempoh tanggungan kecacatan dan penyediaan semua peralatan bagi kerja-kerja tetap dan sementara.


Kangsar Hidro adalah syarikat usaha sama 15:85 antara agensi kerajaan negeri Perak iaitu Yayasan Perak dan Kangsar Capital Sdn Bhd.


Dalam satu kenyataan berasingan, Pengerusi KPower, Datuk Abdul Karim Abdullah, berkata kejayaan meraih kontrak di Perak membuktikan usaha kumpulan itu untuk kekal berdaya saing mencapai sasaran kontrak tambahan berjumlah RM2 bilion bagi tahun kewangan 2021.


"Ketika ini, jumlah kontrak yang diraih kumpulan di Malaysia, negara ASEAN dan Nepal berjumlah RM1.4 bilion," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun berkata, projek di Perak mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dengan hidro menjadi pengaruh terkuat syarikat.


"Kami akan terus meneroka peluang, projek dan pasaran lain.


KPower optimis terhadap prospek kumpulan disokong unjuran kukuh dalam sektor tenaga, selain dipacu jangkaan pemulihan ekonomi.


"Ia bakal mengukuhkan kedudukan kami untuk memperluaskan capaian dalam sektor tenaga," katanya.

Sumber: Berita Harian

416 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.