KPLB cadang harga bina rumah PPRT dinaikkan selari kos semasa
- Ridhwanisme
- Mar 24, 2022
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang menaikkan kos pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berdasarkan kadar harga semasa.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia berikutan kos pembinaan semasa bagi sebuah rumah PPRT yang ditetapkan kerajaan iaitu RM56,000 di Semenanjung dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak, tidak selari dengan peningkatan harga bahan binaan.
Katanya, perkara itu menyebabkan ramai kontraktor kecil tidak mampu melaksanakan pembinaan rumah PPRT kerana kadar keuntungan yang semakin kecil, selain ada kontraktor terpaksa menarik diri.
"KPLB sedar ketika ini bahan binaan meningkat kepada satu harga lebih tinggi, terutama selepas pandemik COVID-19 melanda.
"Peningkatan kos binaan ini menyebabkan ramai kontraktor kecil di kampung yang terbabit dalam projek membina rumah PPRT tidak mampu melakukannya kerana margin (keuntungan) terlalu kecil.
"Jadi, kita akan mengemukakan cadangan kenaikan kos rumah PPRT kepada Kabinet untuk kelulusan kerajaan.
"Ketika ini, KPLB sedang melakukan libat urus dengan pelbagai agensi untuk mendapatkan pandangan, sebelum cadangan ini dikemukakan kepada jemaah menteri," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang bertanya sama ada KPLB bercadang menaikkan harga siling rumah PPRT selepas mengambil kira peningkatan harga bahan binaan dan pengangkutan.
Mahdzir berkata, syarat untuk mendapatkan bantuan rumah PPRT masih sama seperti dulu, iaitu penerima disahkan sebagai golongan miskin serta perlu memiliki tanah, sama ada milik sendiri atau keluarga.
Berhubung soalan tambahan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) yang bertanyakan tindakan KPLB terhadap penduduk menyalah guna rumah PPRT, sama ada disewakan atau menjadikannya rumah burung walit, Mahdzir berkata, pihaknya boleh merampas kembali rumah berkenaan.
"Kalau benar ada yang buat rumah burung, itu memang salah. Kita boleh ambil tindakan, antaranya menarik balik rumah kerana PPRT adalah khusus untuk membantu orang miskin.
"Kita boleh dapatkan laporan daripada pejabat daerah atau Ahli Parlimen sendiri boleh laporkan terus kepada saya mengenai salah guna rumah PPRT," katanya.
Menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai penduduk miskin yang tiada tanah, Mahdzir berkata, KPLB ada menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina rumah PPRT di atas tanah kerajaan negeri.
"Kita ada kolaborasi. Jika kerajaan negeri luluskan tanah, kita akan sedia prasarana dan membina rumah. Contohnya di Pahang, kerajaan negeri pindahkan 60 rumah dari rizab sungai ke tanah kerajaan negeri dan KPLB bina rumah di situ," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commentaires