KUALA LUMPUR: Beberapa projek kejuruteraan dan pembinaan (E&C) Sapura Energy Bhd disemak semula atau ditangguhkan ke tahun hadapan berikutan kos harga bahan semasa yang tinggi, demikian kata penganalisis.
Penganalisis berkata, operasi syarikat minyak dan gas itu kekal tidak menentu terutama segmen E&C berikutan kontrak legasi yang kurang berprestasi.
PublicInvest Research berkata, meskipun pemulihan dicatatkan syarikat perkhidmatan minyak bersepadu itu pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022, cabaran kekal bagi segmen E&C.
Segmen itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM27.1 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM58.5 juta dalam suku sebelumnya.
Ia berkata, walaupun pendapatan meningkat 17 peratus suku ke suku, PublicInvest Research menjangkakan keuntungan terjejas oleh pengiktirafan yang lebih rendah daripada penyelesaian komersial daripada kontrak berprestasi rendah dalam segmen E&C dan pewujudan tuntutan tambahan dalam segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M).
Katanya, jumlah kontrak E&C dan O&M berjumlah kira-kira RM4 bilion, walaupun keuntungan masih menjadi kebimbangan memandangkan pelaksanaan kontrak legasi di tengah-tengah persekitaran operasi semasa yang mencabar.
"Kami berpendapat bahawa pendedahan kontrak legasi akan berkurangan kepada 25 peratus dalam suku keempat tahun kewangan 2023," katanya dalam nota penyelidikannya.
PublicInvest Research berkata, kebimbangan mudah tunai juga memberi kesan kepada usaha pemulihan Sapura Energy serta menjejaskan pelaksanaan projek tertentu dan keupayaan untuk menambah jumlah kontrak berikutan akses terhad kepada jaminan bank dan kemudahan modal kerja semasa fasa penstrukturan semula.
Ia berkata, untuk memastikan ekosistem kumpulan terus berjalan, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mempercepatkan penyelesaian komersial tuntutan kontrak dengan pelanggan, dan semakan kontrak berprestasi rendah.
Katanya, pengewangan aset sedang berjalan dengan pelupusan tiga pelantar penggerudian kepada NKD Maritime Limited adalah yang terbaharu.
Sumber: Berita Harian
留言