top of page

Kos baiki SSMZA dianggar RM100 juta, kerja baik pulih ditangguhkan


KUALA TERENGGANU: Fasa utama kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, di sini, terpaksa ditangguhkan berikutan kos membaikinya dianggarkan mencecah RM100 juta yang menyamai perbelanjaan membina sebuah stadium baharu.


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abd Karim, berkata justeru kerja membaik pulih stadium pelbagai guna yang boleh menampung 50,000 penonton itu terpaksa dikaji semula.


Beliau berkata, kos membaiki sebahagian bumbung stadium itu yang runtuh pada Jun 2009 mencecah RM30 juta, manakala banyak kemudahan lain seperti gelanggang skuasy, boling dan bilik tetamu kenamaan (VIP) masih belum dibaik pulih kerana memerlukan perbelanjaan tinggi.


“Kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan kerja baik pulih SSMZA dan menamatkan kontraktor terbabit. Berdasarkan siasatan dibuat, kita terkejut dengan penemuan hasilnya.


“Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kos baik pulih dianggarkan RM100 juta yang boleh membina sebuah stadium baharu dengan kapasiti lebih rendah.


“Oleh itu, kita mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya JKR memperhalusi kos baik pulih dan kemudian membuat perbandingan dengan pembinaan sebuah stadium baharu,” katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, padang SSMZA bakal berubah wajah apabila kerja membaik pulihnya dimulakan bulan ini menggunakan peruntukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).


Pada 2 Jun 2009, sebahagian bumbung SSMZA yang dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang dan pertama seumpamanya di Asia, runtuh walaupun stadium bernilai RM292 juta itu baru setahun digunakan.


Dalam insiden jam 9.30 pagi itu, struktur bahagian bumbung di tempat duduk utama, termasuk Pentas Diraja, ranap dan menimpa sebuah kereta, tiga motosikal serta jentera berat diletakkan berhampiran kawasan itu tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri disaran menubuhkan sebuah pasukan petugas khas dengan pelbagai kepakaran bagi meneliti keseluruhan projek sakit yang masih berbaki di Terengganu, termasuk membabitkan SSMZA.


Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan sama ada projek terbabit memiliki kebolehupayaan untuk disiap, diguna dan dimanfaatkan selepas proses baik pulih tertangguh sejak sekian lama akibat kekangan kewangan.


“Ia juga diharap dapat memainkan peranan menyemak kebolehupayaan kontraktor dilantik dalam melakukan kerja pembaikan selepas kontraktor terdahulu tidak memiliki keupayaan untuk membaiki bumbung berkenaan,” katanya.



79 views

Comments


bottom of page