top of page

Korek tebing laut jumpa bom lama



Georgetown: Kesan berasap sejak sehari lalu membawa penemuan sebutir bom lama di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Kota Cornwallis, di sini, hari ini.


Difahamkan, bom lama berkenaan ditemui ketika kerja pengorekan tebing laut dilakukan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada 6.10 petang.


Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.


"Ketika tiba di lokasi, didapati seperti bom lama sepanjang 0.3 meter (satu kaki) berada dalam tanah ketika kerja pengorekan dijalankan.


"Kesan asap itu dikesan oleh pekerja di kawasan terbabit sejak sehari lalu," katanya dalam kenyataan, di sini.


Katanya, pihaknya sedang melakukan pemantauan dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang juga sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu.


Kawasan terbabit kini giat dijalankan projek kerja pengukuhan dan menaik taraf tembok laut oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Georgetown Conservation and Development Corporation (GTCDC).


Ia berada dalam Zon Teras, Tapak Warisan Dunia Unesco Georgetown serta Zon Penampan bagi Tapak Warisan Kebangsaan Kota Cornwallis dan beberapa artifak ditemui sejak 2018.


Sumber: Harian Metro


6 views
bottom of page