top of page

Kontraktor tempatan bakal raih sehingga RM18 bilion projek ECRL


Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kontraktor tempatan dijangka meraih manfaat sehingga RM18 bilion daripada pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdasarkan peruntukan 40 peratus projek berkenaan akan diberikan kepada syarikat domestik.


Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata ia adalah perkembangan baik buat sektor pembinaan tempatan yang sudah pun menunjukkan reaksi positif di Bursa Malaysia sejak Jumaat lalu.


Namun katanya, reaksi yang berbeza diterima pada hari ini apabila kaunter dagangan di sektor berkenaan senyap dan tidak menunjukkan reaksi yang positif.


“Ini kerana, masih belum ada perincian mengenai siapakah yang akan mendapat kontrak daripada ECRL ini. Ia masih belum pasti lagi.


“Walaupun ya, 40 peratus daripada RM44 bilion projek ECRL akan diberikan kepada kontraktor tempatan, iaitu kira-kira RM17 bilion, ia adalah sejumlah wang yang besar, tetapi belum pasti ia akan diberikan kepada siapa,” katanya kepada BH ketika dihubungi di sini, hari ini.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media pagi ini mengumumkan pembabitan penyertaan tempatan dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus seperti yang dipersetujui sebelum ini.


Katanya, projek ECRL itu juga diteruskan dengan kos pembinaan RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada nilai asalnya, iaitu RM65.5 bilion.


Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata pengumuman mengenai projek ECRL itu sudah semestinya akan merancakkan kembali sektor pembinaan.


Katanya, setakat Jumaat lalu, rata-rata syarikat daripada sektor berkenaan telah mencatat peningkatan dengan indeks sektor pembinaan mendahului indeks sektor lain di Bursa Malaysia dengan kenaikan sebanyak 32 peratus diikuti indeks tenaga dan indeks teknologi dengan masing-masing 30 peratus dan 16 peratus.


“Ini disamping perbelanjaan untuk pembangunan dalam bajet 2019 yang tidak banyak berbeza daripada Bajet 2018. Walaupun nilai kontrak mungkin secara keseluruhannya lebih kecil daripada dahulu, tapi dijangkakan ia dapat memberi manfaat untuk lebih banyak lagi projek yang boleh dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pembinaan tempatan,” katanya.


Sehingga jam 5 petang tadi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 1.16 mata untuk ditutup kepada 1,631.33 berbanding 1,630.17 pada Jumaat lalu.


Bagi kaunter pembinaan, jatuh 2.32 mata untuk ditutup kepada 203.32 berbanding 206.22 pada Jumaat lalu.



56 views
bottom of page