top of page

Kontraktor mesti patuhi piawaian, siap projek ikut jadual


MIRI: Semua kontraktor terbabit kerja menaik taraf sekolah usang di negeri ini, perlu mematuhi piawaian dan spesifikasi kerja ditetapkan kerajaan, sekali gus menyiapkan projek mengikut jadual.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, berkata ia penting bagi memastikan kualiti kerja yang terbaik dan pelajar mendapat manfaat daripada projek menaik taraf sekolah berkenaan.


Justeru, beliau berkata, kontraktor terbabit harus memiliki tahap disiplin tinggi dan keupayaan serta bertanggungjawab menyempurnakan projek itu.


“Dalam setiap kontrak, mereka perlu menyiapkan projek tepat pada waktunya. Adalah kewajipan mereka untuk memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual.


“Rakyat Sarawak, terutama pelajar, tidak boleh menunggu terlalu lama dan mereka memerlukan sekolah untuk meneruskan pendidikan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.


Mengulas lanjut, Ting berkata, langkah Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM100 juta bagi kerja pembaikan 33 sekolah usang di Sarawak adalah wajar.


Mengenai keputusan Jemaah Menteri meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan akan digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di negeri ini pula, beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan sejak tahun lalu.


Katanya, langkah itu diharap dapat memastikan semua sekolah usang di Sarawak memperoleh manfaat daripada peruntukan besar berkenaan.


Sumber: Berita Harian


13 views
bottom of page