top of page

Kontraktor LPT2 ditangkap disangka pencuri lembu


Sebahagian pekerja kontraktor LPT2 yang ditangkap penduduk kampung kerana disangka pencuri lembu di Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman semalam.

KEMAMAN - Sekumpulan pekerja kontraktor Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang sedang melakukan kerja-kerja menangkap lembu berkeliaran di kawasan lebuh raya cemas apabila dikepung penduduk di Kampung Chabang, Kerteh dekat sini malam tadi.


Penduduk kampung tersebut berbuat demikian kerana menyangka pekerja-pekerja lebuh raya itu sedang mencuri lembu-lembu berkenaan di susur keluar Plaza Tol Kerteh.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, kumpulan pekerja kontraktor LPT2 itu bagaimanapun dilepaskan penduduk kampung apabila menerima penjelasan perkara sebenar.

"Pekerja kontraktor LPT2 yang disangka pencuri terbabit sebenarnya telah diarahkan oleh pengendali lebuh raya berkenan untuk menangkap lembu berkeliaran di kawasan lebuh raya yang boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna.


"Ia cuma salah faham dan perkara tersebut selesai tidak lama kemudian namun apa yang dikesalkan gambar-gambar diambil pada masa tersebut telah ditularkan di media sosial dengan maklumat yang tidak tepat," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.


Difahamkan pengendali LPT2 iaitu LPT2 Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat PLUS Malaysia Berhad terpaksa melakukan kerja-kerja menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di sepanjang lebuh raya terbabit demi keselamatan pengguna.


Sumber: Kosmo!


78 views
bottom of page