top of page

Kontraktor kini ‘sakit’


Keputusan kerajaan menyemak semula beberapa projek mega terutama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sehingga kini masih belum ada kata putus, pembatalan MRT3 dan semakan kontrak LRT3 serba sedikit menambah keperitan kepada syarikat kontraktor tempatan yang telah tersepit dengan pelbagai isu sejak akhir-akhir ini.


Antaranya kos pengambilan pekerja asing dan persaingan dengan firma luar negara dalam projek pembinaan di negara ini hingga menyebabkan syarikat-syarikat tempatan kekurangan kontrak kerja. Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON menemubual Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), FOO CHEK LEE untuk mendapat gambaran sebenar mengenai senario sektor pembinaan tahun ini.


Sejauh mana prospek sektor pembinaan tahun ini disebabkan beberapa keputusan kerajaan untuk menangguhkan dan membatalkan projek-projek mega?


Sememangnya, proses ­penan­gguhan, pembatalan dan semakan semula projek pembinaan infrastruktur turut menjejaskan pertumbuhan industri pembinaan Malaysia.


Tidak dinafikan dengan tindakan ini kerajaan dapat me­ngurangkan kos pembinaan infrastruktur tetapi kami berharap projek-projek yang telah ditangguh itu dapat diteruskan selepas kajian dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Ini penting bagi memastikan kapasiti industri pembinaan tempatan dapat bergiat sepenuhnya di samping bertindak sebagai pemangkin pergerakan kepada 140 industri sampingan demi memajukan ­aktiviti ekonomi negara.


Mungkinkah pekerja dibuang sebab syarikat tiada projek?

Pada masa ini, bilangan projek yang ditawarkan adalah kecil dan terlalu sedikit jika diban­dingkan dengan bila­ngan pemborong yang ada. Disebabkan kekurangan projek, kontraktor kelas besar kini bersaing dengan kontraktor kecil untuk mendapat projek. Selain itu, kontraktor asing yang besar juga bersaing dengan kontraktor ­kecil tempatan untuk mendapat kerja kontrak dan subkontrak.


Kesan ini akan menjadi lebih ketara dan dapat dirasai sepenuhnya jika tidak ada perubahan ke atas bilangan projek-projek pembinaan yang ditawarkan oleh pihak swasta dan kerajaan.


Apatah lagi, kos perniagaan juga semakin naik. Untuk terus hidup, syarikat-syarikat ini terpaksa mengambil langkah berjimat dan mengurangkan kos. Jadi, satu daripada caranya ialah mengurangkan kos overhead. Mahu atau tidak ,ia terpaksa memberhentikan pekerja-pekerja yang kurang sesuai dan berlebihan.


Selain itu, apakah faktor-faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan sektor pembinaan tahun ini?

Terdapat banyak faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan sektor ini, antaranya kenaikan kos perniagaan. Ia disumbangkan sebahagian besar daripada kos pengambilan pekerja asing yang dinaikkan dan ada di antara kos ini dahulunya ditanggung oleh pekerja asing kini di bawah tanggungan pihak majikan, contohnya kos levi, insurans dan pemeriksaan kesihatan pekerja asing.


Dasar kerajaaan terhadap pengambilan pekerja asing juga sentiasa berubah-ubah menyebabkan kekeliruan dalam industri. Kesukaran mendapat pekerja asing dari negara sumber seperti Indonesia, Vietnam dan Myanmar juga disebabkan negara-negara ini sedang membangun pesat dan mereka tidak lagi berminat datang ke sini.


Pekerja dari Bangladesh juga tidak dapat masuk kerana sistem komputer kemasukan pekerja asing ke negara ini ditangguhkan kerajaaan sejak Ogos lalu. Oleh itu, terdapat kekosongan bilangan pekerja yang terpaksa balik ke negara masing-masing kerana permitnya habis tempoh.


Kekosongan ini juga tidak dapat diisi sepenuhnya. Faktor-faktor ini secara tidak langsung menyebabkan kekurangan pe­kerja dan dengan sendirinya meningkatkan upah atau gaji pekerja asing dan juga kenaikan kos pembinaan.


Walau bagaimanapun, pihak MBAM bersyukur kerana kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji isu-isu berkaitan pekerja asing dan cadangan mengatasinya.


Kejatuhan nilai mata wang ringgit terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) juga dalam masa sama menyebabkan kos bahan binaan dan jentera yang perlu diimport meningkat.


Kekurangan projek dan persaingan dengan kontraktor asing yang kebanyakannya disokong kerajaan di negara terlibat juga antara faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan sektor pembinaan tempatan.


Jadi, untuk tahun ini apakah projek-projek yang boleh direbut syarikat tempatan?

Antara projek yang boleh me­rangsang pertumbuhan sektor ini termasuk potensi pelaksanaan semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, Pan Borneo Highway dan Sa­rawak Coastal Road.


Selain itu, projek-projek kecil yang diluluskan dalam Belanwajan 2019 juga dapat memacu pertumbuhan industri pembinaan tempatan.


MBAM berharap kerajaan akan segera mengeluarkan tender untuk projek-projek yang dirancangkan dalam Belanjawan 2019 untuk membantu ribuan kontraktor tempatan yang kini menghadapi keku­rangan projek.


Syarikat tempatan seme­mangnya berpeluang merebut projek pada masa sekarang. Contohnya projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru yang menggunakan subkontraktor tempatan.


Apakah cadangan MBAM bagi meningkatkan daya saing sektor ini?

Adalah lebih wajar sekiranya pihak kerajaan dapat mengadakan satu dasar agar semua projek yang dibiayai di bawah peruntukan tempatan dilaksana­kan oleh pemborong tempatan.


Sekiranya kepakaran tertentu diperlukan dan tidak diperoleh di negara ini, maka kontraktor tempatan boleh mengupah pakar-pakar tersebut atau menjalin usaha sama dengan syarikat pakar bagi bahagian berkenaan sahaja. Bagi projek yang dibiayai oleh pinjaman asing, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kerja pembinaan dilaksanakan oleh pemborong tempatan.


Sumber: Utusan Online


938 views
bottom of page