top of page

Kontraktor kecil harap suntikan projek beri nafas baharu


Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yakin lebih banyak kontraktor kecil berpeluang terbabit dalam pelaksanaan projek perumahan rakyat tahun depan, selain merebut peluang melalui aspek pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak. - foto hiasan BERNAMA

Kuala Lumpur: Kontraktor kategori G1 hingga G4 mengharapkan suntikan lebih banyak peluang melalui projek digariskan dalam Belanjawan 2021 untuk kembali bangkit daripada krisis akibat pandemik COVID-19.


Mereka yang terjejas sehingga terpaksa 'gulung tikar' kerana tidak dapat meneruskan operasi, antara paling mengharapkan suntikan nafas baharu itu, khususnya peruntukan RM2.5 bilion kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.


Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, percaya Belanjawan 2021 mampu menyuntik rangsangan secara berterusan buat kontraktor kecil.


Katanya, dianggarkan 10 hingga 20 peratus daripada kira-kira 30,000 kontraktor kelas G1 terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.


"Justeru, Belanjawan 2021 ini memberi harapan buat kelompok terjejas ini untuk bangkit semula.


Mengulas manfaat Belanjawan 2021, Mohamed Fadzill yakin lebih banyak kontraktor kecil berpeluang terbabit dalam pelaksanaan projek perumahan rakyat tahun depan, selain merebut peluang melalui aspek pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.


Berhubung usaha kerajaan menarik pekerja tempatan dalam sektor pembinaan, katanya, sehingga kini belum ada rakyat negara ini cenderung ke arah itu.


"Ketika ini majikan sendiri berdepan kekurangan tenaga kerja asing yang berdaftar kerana kebanyakan mereka sudah pulang ke negara asal akibat COVID-19," katanya.


"Justeru, diharap kerajaan dapat mendaftarkan segera warga asing yang berada di negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan sebagai pekerja sah bagi mengisi kekosongan itu," katanya.



50 views
bottom of page