top of page

Kontraktor KDEB diarah bersihkan longkang secara berkala


Tong roro yang disediakan MBSA demi kegunaan mangsa membuang barangan rosak akibat banjir kilat.

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengarahkan kontraktor dibawah seliaan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. melakukan pembersihan longkang secara berkala.


Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ini melibatkan longkang di kawasan perumahan, komersial, perindustrian dan jalan utama bagi mengelakkan banjir kilat berulang kembali pada masa depan.


Katanya, hujan lebat bermula pukul 4.30 petang menyebabkan beberapa kawasan antaranya Seksyen 4, Seksyen 9, Seksyen 13, Seksyen 25 (Taman Sri Muda) dan Kampung Kebun Bunga telah dinaiki air.


“Hasil semakan MBSA melalui pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor mendapati kadar hujan yang diterima di kawasan Shah Alam sebanyak 148 mm dalam tempoh lima jam melebihi paras biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kata Shahrin pemantauan pengoperasian pam air dan juga kolam takungan di bawah seliaan MBSA juga dilakukan secara berkala.


Selain itu, katanya, pihak JPS juga telah dipohon melakukan perkara sama yang terletak dibawah selian mereka.


“Pasukan PANTAS MBSA yang diselia oleh anggota penguatkuasa telah bergegas ke lokasi untuk membantu dan memantau situasi banjir di kawasan terlibat dari segi kawalan lalulintas serta keselamatan.


“Tong roro juga disediakan di bagi membantu penduduk terjejas membuang sampah dan barangan yang rosak akibat banjir kilat berkenaan,” jelasnya.


Sumber: Kosmo!

7 views

Comments


bottom of page